BELANJAWAN 2025 > BERITA

JHEAINS Akan Bantu Urus Jenazah Dua Kanak-kanak Lemas Selepas Kenal Pasti Status Agama

06/09/2025 01:07 PM

SEREMBAN, 6 Sept (Bernama) -- Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sedang menjalankan semakan bagi menentukan status agama dua kanak-kanak lemas, selepas kenderaan dinaiki mereka menggelongsor ke dalam Sungai Linggi di Tanjung Agas, Port Dickson pada Khamis.

Pengarahnya Mohd Asri Abdullah berkata setelah selesai pengesahan status agama Islam dua kanak-kanak itu, pihaknya akan menguruskan jenazah dua kanak-kanak itu.

Mohd Asri berkata pihaknya menerima permohonan daripada pihak polis untuk semakan status agama dua kanak-kanak itu, namun tiada rekod pengislaman di Kelantan seperti dimaklumkan bapa kanak-kanak itu.

“Bapa kanak-kanak itu memaklumkan bahawa pengislaman dilakukan di Kelantan, tetapi semakan di jabatan agama di sana tidak menemukan sebarang rekod, hasil semakan di negeri ini juga sama, tiada rekod berhubung pengislaman dua kanak-kanak itu.

“Pihak kami bergantung kepada pengakuan ibu bapa kandung berhubung status agama kanak-kanak ini, mereka perlu membuat laporan polis berkenaan status agama dan ini akan digunakan sebagai kebenaran untuk menguruskan jenazah tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung sebuah kereta jenis Nissan terjatuh ke dalam sungai Tanjung Agas, dengan kanak-kanak lelaki dan perempuan di dalamnya, pada 11.45 pagi, 4 Sept.

Beliau berkata siasatan mendapati kanak-kanak tersebut masing-masing berumur enam dan lapan tahun yang beralamat di Shah Alam, Selangor, dipercayai lemas akibat terperangkap di dalam kenderaan.

Semalam, Alzafny turut melaporkan seorang lelaki berusia 46 tahun dipercayai bapa kanak-kanak itu dan teman wanitanya 41 direman tujuh hari bermula semalam, bagi membantu siasatan berhubung kematian dua kanak-kanak tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Media turut melaporkan tiada ahli keluarga atau waris hadir di Unit Forensik Hospital Port Dickson ketika proses bedah siasat mangsa semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan