BELANJAWAN 2025 > BERITA

RM1.79 Juta Untuk Persatuan, Syarikat Di Selangor Semarakkan Seni Budaya

06/09/2025 07:16 PM

KUALA LANGAT, 6 Sept (Bernama) -- Sebanyak RM1.79 juta disalurkan kepada persatuan dan syarikat di Selangor bagi membantu menyemarakkan industri seni dan warisan kebudayaan tahun ini. 

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris berkata daripada jumlah itu Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) telah menyalurkan sebanyak RM1.7 juta kepada 23 persatuan dan syarikat seni di Selangor. 

Beliau berkata selain itu sejumlah RM95,000 disalurkan kepada 18 persatuan seni budaya di negeri berkenaan di bawah Bantuan Insentif Seni Kewangan JKKN. 

"Untuk rekod, pada tahun 2024, sebanyak RM3.5 juta sahaja telah disalurkan kepada 63 permohonan persatuan dan syarikat seni budaya bagi melaksanakan program di negeri Selangor," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Selangor@Batu Laut 2025 di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah. 

Beliau berkata MOTAC amat menitikberatkan penyemarakan program berbentuk seni budaya di seluruh negara justeru sokongan daripada agensi dan masyarakat amat diperlukan dalam menjadikan bidang tersebut sebagai antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara. 

Dalam pada itu, Amirudin dalam ucapannya berkata Selangor kekal menjadi tumpuan kepelbagaian budaya dan seni sekali gus menjadi kekuatan negeri itu dalam sektor pelancongan. 

Beliau berkata kepelbagaian itu yang disumbangkan oleh trend migrasi berskala besar sejak ratusan tahun secara tidak langsung turut membawa adat dan budaya setiap etnik atau masyarakat sekali gus mewujudkan keunikan dalam kepelbagaiannya.

“Sebagai contoh, pada 2018, angka itu (penduduk) meningkat kepada 6.8 juta dan hari ini Selangor mencatatkan lebih 7.4 juta (penduduk). Kehadiran mereka (migrasi) tidak hanya datang untuk mencari kerja atau menggerakkan ekonomi.

“Di samping bersedia meraikan kebudayaan lain yang bersesuaian diamalkan di dalam negara atau negeri ini, kita mempertahankan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan sebagai contoh, memberikan peluang untuk semua berekspresi selagi tidak menggugat kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan