BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tebus Penghargaan SARA Guna MyKad Selamat, Elak Wang Tercicir

07/09/2025 10:46 AM

KUCHING, 7 Sept (Bernama) -- Pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara sekali bayaran sebanyak RM100 menggunakan MyKad memudahkan orang ramai untuk membeli barangan keperluan harian dengan lebih cekap dan selamat.

Sharifah Hafizah Wan Adeni, 39, seorang Pembantu Pengurusan Murid, berkata mekanisme yang diperkenalkan kerajaan itu bukan sahaja memudahkan transaksi malah lebih selamat kerana dapat mengelakkan risiko kehilangan atau keciciran wang tunai terutama dalam kalangan warga emas.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan supaya lebih banyak premis perniagaan menerima transaksi tersebut, selain memastikan terminal pembayaran sentiasa berfungsi dengan baik.

“Perlu ada lebih banyak kedai yang boleh menerima transaksi ini dan pastikan semua kaunter kedai berfungsi sepenuhnya untuk pembayaran menggunakan MyKad,” katanya kepada Bernama.

Penghargaan SARA yang dikreditkan ke dalam MyKad semua warganegara berusia 18 tahun ke atas bermula 31 Ogos lepas boleh digunakan sehingga 31 Disember ini di lebih 4,100 kedai runcit dan pasar raya di seluruh negara.

Seorang guru, Mohd Amiruddin Muhiddin, 36, berkata bantuan melalui MyKad memudahkan pengguna mengatur perbelanjaan dan mengelakkan salah guna wang tunai, namun berharap penebusan dapat diperluas termasuk melalui Jualan Rahmah di kawasan tempat tinggal masing-masing.

“Saya akan guna untuk membeli barang keperluan bulanan seperti sabun dan serbuk pencuci, jadi wang lebihan gaji boleh disimpan untuk kegunaan lain,” katanya.

James Gasing, 50, seorang pesara tentera di Sibu, turut berpandangan penggunaan MyKad sebagai mekanisme pengesahan adalah langkah baik bagi mengelakkan salah guna kredit.

Bapa kepada lima anak itu mencadangkan supaya penebusan Penghargaan SARA dapat dibuat menggunakan aplikasi seperti e-dompet, selain memperluas senarai barangan yang layak termasuk petrol.

“Beliau berharap kedai-kedai yang mengambil bahagian membuka lebih banyak kaunter agar memudahkan orang ramai,” katanya.

James yang juga penerima bantuan MyKasih menganggap penggunaan MyKad sebagai mekanisme pengesahan adalah langkah baik, namun berharap masalah teknikal dapat diatasi.

“Ada penerima yang menghadapi masalah ketika menebus iaitu cip kad pengenalan mereka tidak dapat dibaca oleh peranti yang digunakan,” katanya.

Sementara itu, isterinya Losna Taham berkata beliau belum menebus Penghargaan SARA kerana merancang menggunakannya pada bulan lain agar perbelanjaan keluarga lebih teratur.

“Dalam perkiraan saya mengikut bajet biasa keluarga kami, barangan keperluan yang dibeli dengan nilai RM200 itu dapat menampung bekalan untuk lebih tiga hingga empat bulan.

“Jadi ini sangat membantu keluarga saya. Nampak kecil, tetapi besar maknanya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan