ISKANDAR PUTERI, 8 Sept (Bernama) -- Lebih 5,000 penyokong hadir ke Stadium Sultan Ibrahim di sini bagi menyaksikan perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Palestin yang dijadualkan bermula 9 malam ini.
Menariknya, penyokong tempatan bukan sahaja memakai jersi Harimau Malaya, tetapi turut mengenakan pakaian berwarna hijau sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.
Ia menggambarkan semangat kebersamaan dan persaudaraan rentas negara yang kini sedang bergolak dengan peperangan.
Penyokong Harimau Malaya Onn Abdul Rahman, 56, menyifatkan perlawanan itu sebagai sentimental kerana ia lebih daripada sekadar aksi bola sepak, malah menjadi simbol sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Insya-Allah kita akan lihat persembahan yang baik daripada kedua-dua pasukan. Kita sebenarnya menyokong kedua-duanya, Malaysia dan Palestin.
“Mungkin dua gol untuk setiap pasukan, insya-Allah,” kata bapa kepada tiga anak itu.
Muhammad Hazim Ikmal Abdullah, 15, yang datang bersama ibunya turut memberikan sokongan kepada kedua-dua negara.
“Tujuan datang untuk sokong kedua-dua pasukan. Seperti sedia maklum, kebanyakan rakyat Malaysia sokong Palestin dengan keadaan sekarang yang tidak menentu.
“… untuk malam ini, harapnya sengitlah, mungkin 2-1. Malam ini malam bermakna,” katanya.
Sementara itu, pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari Palestin Abib Al Saiad, 22, berharap perlawanan malam ini akan berlangsung dengan harmoni dan menarik.
“Ini kali pertama saya datang ke sini. Jadi, insya-Allah kita akan melihat persembahan yang baik daripada kedua-dua pasukan dan kami sebenarnya menyokong kedua-dua pasukan.
“Kami menyokong Malaysia dan Palestin, insya-Allah. Mungkin dua gol untuk kedua-dua pasukan, insya-Allah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial