BELANJAWAN 2025 > BERITA

35 Kematian Akibat Penyakit TB Di Kelantan Sejak Januari Hingga Julai

08/09/2025 11:56 PM

KOTA BHARU, 8 Sept (Bernama) -- Sebanyak 35 kematian akibat penyakit Tuberkulosis (TB) dicatatkan di Kelantan sejak Januari hingga Julai tahun ini, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata sebanyak 636 kes TB dilaporkan dari Januari hingga Julai tahun ini  dengan Kota Bharu kekal di kedudukan pertama iaitu 178 kes, diikuti Pasir Mas (80) dan Tumpat (75).

“Sehingga Julai 2025, sebanyak 14 wabak TB dikesan melibatkan tujuh daerah, dengan Kota Bharu merekodkan bilangan wabak tertinggi. 

“Kebanyakan wabak melibatkan isi rumah, dengan purata dua kes dalam kalangan kontak rapat kepada kes indeks,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata golongan berisiko di Kelantan kebanyakannya warga emas berusia 65 tahun ke atas, berbangsa Melayu serta mempunyai penyakit bersama seperti diabetes dan tabiat merokok.

“Bagi membendung penularan, JKNK melaksanakan pelbagai langkah antaranya promosi kesedaran mengenai pencegahan, pemeriksaan segera kepada individu yang mengalami gejala batuk berpanjangan serta saringan golongan berisiko tinggi menggunakan teknologi diagnostik terkini.

“Pemantauan rawatan turut diperkukuh bagi memastikan pesakit mematuhi terapi di samping meningkatkan kapasiti petugas kesihatan dalam pengurusan TB yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata sepanjang 2024, sebanyak 1,049 kes dicatatkan dengan 99 kematian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan