BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pusat Latihan JAKOA Paya Bungor Berwajah Baharu, Tawarkan Kursus TVET - Ahmad Zahid

09/09/2025 02:48 PM

KUANTAN, 9 Sept (Bernama) -- Pusat Latihan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Paya Bungor (PLPB) kini berwajah baharu selepas siap dinaik taraf dengan kos RM30 juta, dan mula beroperasi pada September tahun lepas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pusat itu turut menawarkan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan kemahiran, yang bukan sahaja mampu melahirkan belia Orang Asli cekap, malah berdaya saing dalam bidang strategik yang diperlukan industri masa kini.

“Sebagai langkah awal, kita berbangga apabila pusat latihan ini telah diiktiraf sebagai Pusat Bertauliah di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran. Dengan pengiktirafan ini, anak-anak muda Orang Asli bakal memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan 3.

“Kohort pertama pelatih dijadual memulakan pengajian mereka menjelang penghujung tahun 2025,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian PLPB di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

PLPB mula beroperasi pada 11 Sept 1969 sebagai pusat ilmu dan kemahiran untuk masyarakat Orang Asli. Selepas dinaik taraf, ia kini dilengkapi fasiliti moden termasuk bilik kuliah, bengkel jahitan, blok kemahiran dan komuniti, selain kemudahan sukan serta rekreasi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan 20 perjawatan baharu bagi pusat itu tanpa penggantian (trade-off), merangkumi pelbagai gred dan skim bagi melancarkan urusan operasinya.

“Pahang merupakan negeri bertuah yang menempatkan seramai 84,071 Orang Asli, jumlah tertinggi di Malaysia. Justeru, kewujudan pusat latihan ini bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi mercu tanda baharu yang membuka pintu harapan, khususnya untuk anak muda,” katanya.

Beliau berkata melalui JAKOA, pelbagai inisiatif dilaksanakan demi kesejahteraan masyarakat Orang Asli antaranya menaik taraf Pusat Transit Kuala Lipis, membina jalan perhubungan desa dari Kampung Orang Asli Simoi Lama ke Pos Lenjang, Lipis, serta pembinaan jambatan baharu di Kampung Orang Asli Sungai Gabong, Bentong.

Di seluruh Semenanjung pula, JAKOA membina 28 tabika baharu untuk anak Orang Asli, mewartakan lebih 30 kampung, melaksanakan 258 projek bekalan air terawat, selain menyediakan 812 projek infrastruktur dan ameniti sosial, termasuk 236 projek menaik taraf, membaik pulih serta menyelenggara jalan raya di kampung Orang Asli.

“Ini hanyalah permulaan sebuah perjalanan panjang dengan tujuan hanya satu bagi memastikan komuniti Orang Asli terus terbela, terjamin hak mereka dan terbuka luas jalan masa depan untuk generasi yang akan datang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan