BELANJAWAN 2025 > BERITA

Mesyuarat Persediaan SOMTC Muktamadkan Deklarasi Melaka, Hala Tuju AMMTC Ke-19

09/09/2025 03:04 PM

MELAKA, 9 Sept (Bernama) -- Deklarasi Melaka mengenai Memerangi Jenayah Rentas Sempadan merupakan antara dokumen penting yang dimuktamadkan pada Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman hari ini.

Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan Mesyuarat Persediaan SOMTC berfungsi sebagai sesi rasmi peringkat pegawai kanan sebelum Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) dan sesi konsultasi berkaitan.

“Tujuan utama mesyuarat ini adalah untuk memastikan semua draf deklarasi, kenyataan bersama dan agenda mesyuarat dipersetujui di peringkat pegawai kanan sebelum dikemukakan untuk pertimbangan para menteri.

“Mesyuarat ini juga menjadi persiapan akhir untuk meneliti semua isu teknikal dan substantif agar perbincangan di peringkat menteri dapat berlangsung dengan lancar, teratur serta menghasilkan keputusan yang tuntas,” menurut kenyataan itu.

SOMTC diadakan bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung mulai semalam hingga 12 Sept ini.

Sesi berkenaan turut membuka jalan kepada pengesahan ASEAN Plan of Action in Combating Transnational Crime (2026–2035), iaitu pelan tindakan 10 tahun baharu.

Antara inisiatif utama lain yang dimuktamadkan ialah penubuhan Kumpulan Kerja SOMTC mengenai Pengubahan Wang Haram serta penerimaan ASEAN Border Management Cooperation Roadmap, selain Deklarasi Melaka mengenai Memerangi Jenayah Rentas Sempadan.

Pada AMMTC, para menteri ASEAN dijangka mengesahkan beberapa Deklarasi Pemimpin ASEAN yang merangkumi penguatkuasaan undang-undang rentas sempadan, pencegahan pengubahan wang haram serta inisiatif kreatif melalui aktiviti sukan bagi membendung ekstremisme.

Pada 4 Sept lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan AMMTC bukan sekadar siri mesyuarat, sebaliknya platform strategik yang menghimpunkan para menteri untuk berbincang, menyelaras dan memperkukuh kerjasama serantau dalam memerangi jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks.

AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan berlangsung bersempena Pengerusi ASEAN 2025 oleh Malaysia dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan yang mencerminkan komitmen negara membina komuniti ASEAN yang lebih selamat serta makmur..

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan