BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pelaburan Lebih RM6 Bilion Dijangka Hasilkan 12,000 Pekerjaan Melalui LSS PETRA 5+

10/09/2025 11:03 PM

PUTRAJAYA, 10 Sept (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah menerima Surat Aku Janji daripada 13 pemaju projek di bawah Program LSS PETRA 5+ (Solar Berskala Besar - Peralihan Tenaga SuRiA Pusingan Kelima Tambahan) yang berjaya dalam proses bidaan terbuka dikendalikan Suruhanjaya Tenaga.

Keputusan bidaan terbuka itu diumumkan pada 2 September lepas dengan 13 pembida yang menawarkan harga kompetitif serta mematuhi kriteria ditetapkan menerima kelulusan kuota bagi membangunkan loji jana kuasa solar berskala besar di seluruh negara.

Loji-loji berkenaan dijangka mula beroperasi seawal 2027.

“Kesemua projek ini dianggarkan mempunyai potensi nilai pelaburan melebihi RM6 bilion dan dijangka mewujudkan sehingga 12,000 peluang pekerjaan dalam industri tenaga boleh baharu tempatan,” kata PETRA dalam kenyataan hari ini.

Menurut kementerian itu, penyerahan Surat Aku Janji membuktikan komitmen pemaju untuk melaksanakan serta menyiapkan projek dalam tempoh masa ditetapkan selain memastikan pematuhan terhadap jadual pelaksanaan.

PETRA menjelaskan langkah itu juga membolehkan pihaknya memantau projek berkenaan dengan lebih cekap dan berkesan.

Antara pemaju yang menerima kelulusan ialah Equinox Solar Farm Sdn Bhd; Konsortium Abu Dhabi Future Energy Company P.J.S.C. (MASDAR), Citaglobal Renewable Energy Sdn Bhd dan TIZA Global Sdn Bhd; Konsortium Fabulous Sunview Sdn Bhd dan Cypark Renewable Energy Sdn Bhd; Konsortium Malakoff Corporation Berhad dan Solarvest Holdings Bhd serta Leader Energy Ventures Sdn Bhd.

Sejak dilaksanakan pada 2016, Program LSS menjadi pemangkin utama pembangunan industri tenaga boleh baharu di Malaysia.

Setakat ini, sebanyak 121 projek LSS telah diluluskan dengan kapasiti 6,228MW dan anggaran nilai pelaburan melebihi RM21 bilion.

“Pelaksanaan program ini selaras dengan hala tuju kementerian untuk meningkatkan campuran tenaga boleh baharu dalam sistem bekalan elektrik negara kepada 70 peratus menjelang 2050, sejajar komitmen mengurangkan jejak karbon sektor tenaga, menyokong agenda kemampanan Malaysia MADANI dan memacu pertumbuhan ekonomi hijau negara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan