BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Dalam Kedudukan Kukuh Untuk Ratifikasi UNCAT

11/09/2025 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Malaysia berada dalam kedudukan kukuh untuk meratifikasi Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT) dan menjadi negara ke-176 menyertainya.

Ahli Lembaga Persatuan Pencegahan Penyeksaan (APT) Abdel Wahab Hani, berkata perkara itu bersandarkan institusi dan sistem kehakiman negara yang kukuh.

“Ia juga berdasarkan masyarakat yang dinamik serta agensi penguat kuasa yang mantap,” katanya dalam perbincangan bertajuk Advancing Malaysia’s Accession to the UNCAT di Bernama TV, di sini.

Abdel Wahab, yang juga bekas ahli Jawatankuasa PBB Menentang Penyeksaan, berkata ratifikasi itu akan memastikan perlindungan untuk semua rakyat Malaysia daripada sebarang bentuk layanan buruk dan diskriminasi, sama ada secara fizikal atau psikologi, selaras dengan amalan antarabangsa.

“Ia juga untuk melindungi maruah manusia dan hak asasi,” katanya.

Seiring pandangan itu, Penasihat Undang-Undang Inisiatif Konvensyen Menentang Penyeksaan (CTI), Laura Blanco, berkata masanya sesuai untuk Malaysia menyertai konvensyen berkenaan kerana negara ini sudah pun menjadi ahli Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-Kanak dan Konvensyen PBB mengenai Hak Orang Kurang Upaya.

“Penyertaan dalam UNCAT akan meningkatkan perlindungan untuk semua kumpulan rentan,” katanya di platform sama.

Beliau berkata komitmen Malaysia terhadap langkah pencegahan rasuah, keamanan, dan keadilan, selaras dengan agenda pembangunan mampannya, turut menyumbang kepada matlamat UNCAT.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) baru-baru ini menggesa kerajaan meratifikasi UNCAT sebagai Pengerusi ASEAN untuk menunjukkan kepimpinan serantau serta memperkukuh kedudukan antarabangsa negara.

Pengerusinya Hishamudin Yunus berkata ketika ini, 175 negara telah meratifikasi UNCAT, manakala Malaysia bersama Brunei dan Singapura dalam ASEAN masih belum berbuat demikian.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan