KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Kecerdasan buatan (AI) dijangka mengubah landskap sektor pelancongan Malaysia dengan membantu meningkatkan produktiviti, menambah baik pengalaman pelawat serta memperkukuh daya saing negara pada peringkat global.
Menurut kenyataan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), pelaksanaan penyelesaian AI membolehkan pemain industri pelancongan memperkemas operasi, menambah baik keupayaan membuat keputusan dan membuka peluang pertumbuhan mampan.
Ketua Pengarah MPC Datuk Zahid Ismail berkata penerapan AI perlu bergerak daripada konsep kepada amalan serta diterapkan dalam proses yang menghasilkan keputusan boleh diukur.
“Sektor pelancongan tidak boleh hanya bergantung pada kaedah tradisional. Untuk terus berdaya saing, pelaksanaan AI mesti mempunyai matlamat yang jelas pada bidang yang memberi kesan nyata, termasuk mengubah proses perniagaan, meningkatkan pengalaman pelawat serta meletakkan Malaysia pada posisi kukuh dalam pasaran global,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Wakil Residen Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia, Singapura dan Brunei Besian Xhezo berkata AI sedang membentuk semula masa depan pelancongan, yakni dalam bidang Malaysia berpotensi untuk memainkan peranan utama.
“AI bukan sekadar alat inovasi, sebaliknya pemacu pembangunan inklusif dan mampan dan mempunyai potensi yang mampu membuka lebih USD113 bilion (kira-kira RM477 bilion) dalam peningkatan produktiviti.
“Maka, tumpuan harus diberikan kepada penerapan yang mewujudkan peluang pekerjaan masa hadapan yang berdaya tahan serta mempertingkat kecemerlangan perkhidmatan dengan manusia dan alam sekitar sebagai keutamaan,” katanya menerusi kenyataan itu.
Menurut MPC, Persidangan AIxTourism 2025 yang diadakan hari ini bertemakan AI Productivity for Travel and Tourism: Reshaping the Future of the Visitor Economy sejajar dengan tema rasmi Hari Pelancongan Sedunia 2025, iaitu “Pelancongan dan Transformasi Mampan” .
Persidangan anjuran Tourism Productivity Nexus (TPN) dengan kerjasama MPC, UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei serta Persatuan Teknologi Pelancongan Digital Malaysia (DiTTAM) itu, disertai lebih 250 pembuat dasar, pemimpin industri, ahli akademik dan penyedia teknologi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial