BELANJAWAN 2025 > BERITA

Langgar Akta Kualiti Alam Sekeliling: Syarikat Kitar Semula Didenda RM65,000

11/09/2025 10:35 PM

SHAH ALAM, 11 Sept (Bernama) -- Sebuah syarikat menjalankan aktiviti kitar semula sekerap plastik dekat sini didenda RM65,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Selangor, semalam atas tiga kesalahan melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturannya.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor Wandi Yadzid Yaakob berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas Pengurus Kilang yang mewakili syarikat berkenaan selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah.

Hakim Nurul Mardhiah Mohamed Redza turut memerintahkan hukuman penjara 26 bulan sekiranya denda itu gagal dibayar.

“Berdasarkan fakta kes, satu operasi bersepadu telah dijalankan susulan aduan awam diterima berkaitan sebuah premis yang beroperasi di Jalan Bukit Badong di Kuala Selangor pada 13 Mac 2023 melibatkan Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan JAS Selangor cawangan Sabak Bernam. 

“Siasatan mendapati premis itu menjalankan aktiviti kitar semula sekerap plastik melalui penemuan lambakan sekerap plastik, dua unit mesin peracik kertas dan empat unit mesin pelletizer,” katanya.  

Beliau berkata premis itu didapati gagal membuat pemberitahuan bertulis dan tidak dilengkapi dengan sistem kawalan pencemaran udara sepertimana keperluan diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

Wandi Yadzid berkata satu pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 34A(8) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 manakala dua pertuduhan di bawah Peraturan 29, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

“Pegawai Pendakwa JAS Selangor memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal agar ia menjadi pengajaran kepada syarikat untuk menghormati undang-undang dan kedaulatan negara dengan menjalankan aktiviti itu mengikut kehendak perundangan negara. 

“JAS juga menasihati syarikat untuk lebih bertanggungjawab dan tidak merendahkan kelestarian alam sekitar dalam mengejar keuntungan,” katanya.  

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan