BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pakar Antarabangsa Sertai Persidangan Perubatan Gaya Hidup Untuk Kesihatan Mental

13/09/2025 11:34 AM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Sebuah persidangan bertaraf antarabangsa akan dianjurkan di sini bulan depan bagi meneroka penyelesaian baharu berasaskan bukti untuk menangani cabaran kesihatan awam yang semakin membimbangkan susulan peningkatan ketara isu kesihatan mental yang menjejaskan negara.

Persidangan Perubatan Gaya Hidup Malaysia ke-5 bertemakan “Konsep Baharu Kesihatan Mental melalui Perubatan Gaya Hidup”, anjuran Persatuan Perubatan Gaya Hidup Malaysia (MSLM) akan berlangsung dari 27 hingga 29 Okt 2025 di sebuah hotel.

Presiden dan Pengasas MSLM Dr Siva Poobalasingam berkata persidangan itu bertujuan mengubah paradigma penjagaan kesihatan mental di Malaysia.

“Kesihatan mental bukan sekadar isu individu, sebaliknya merupakan isu masyarakat yang menuntut penyelesaian secara holistik dan inovatif,” katanya yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Ikatan Global Perubatan Gaya Hidup (LMGA) dalam kenyataan baru-baru ini.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, kadar kemurungan di Malaysia telah berganda sejak 2019, dengan lebih satu juta individu berumur 15 tahun ke atas kini mengalami masalah berkenaan.

Situasi ini mencerminkan trend global yang turut dibangkitkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dengan lebih satu bilion individu di seluruh dunia kini dilaporkan hidup dengan masalah kesihatan mental.

Persidangan berkenaan akan mengetengahkan pendekatan perubatan gaya hidup, yang menggunakan kaedah terapeutik seperti pemakanan sihat, aktiviti fizikal, pengoptimuman tidur, hubungan sosial yang positif dan pengurusan tekanan sebagai elemen teras dalam penjagaan kesihatan.

“Fokus kami adalah untuk membekalkan para profesional kesihatan dengan alat dan strategi bagi mencegah, mengurus dan merawat masalah kesihatan mental melalui intervensi gaya hidup yang berasaskan bukti,” kata Dr Siva.

Antara pakar antarabangsa yang akan mengambil bahagian termasuk bekas Presiden American College of Lifestyle Medicine dan ahli fakulti Harvard Medical School Dr Elizabeth Frates, perintis bidang Psikiatri Pemakanan di Harvard Medical School Dr Uma Naidoo dan Ketua Pegawai Perubatan Blue Zones Health Dr Wayne Dysinger. 

Mereka akan disertai oleh Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) Prof Datuk Dr Andrew Mohanraj bagi memastikan pertukaran pandangan yang menyeluruh antara perspektif global dan tempatan.

Program saintifik ini akan membincangkan pelbagai topik mendesak termasuk hubungan antara pemakanan dan emosi, kesan mikrobiom usus terhadap kesihatan mental, peranan penentu sosial, serta konsep “hubungan antara tekanan dan mitokondria.”

“Persidangan ini bukan sekadar pertemuan akademik, ia merupakan satu seruan untuk bertindak. Kami mengalu-alukan penyertaan doktor dan profesional kesihatan bersekutu untuk mempelajari strategi yang boleh membantu pesakit mereka dalam memupuk kesejahteraan mental,” kata Dr Siva.

Acara hibrid selama tiga hari itu akan merangkumi sesi ceramah, bengkel interaktif dan perbincangan panel yang direka khusus untuk profesional penjagaan kesihatan, pembuat dasar dan penggerak kesejahteraan bagi bekerjasama merangka masa depan baharu dalam penjagaan kesihatan mental.

Maklumat pendaftaran boleh didapati di https://lifestylemedicinemalaysia.org/conference/. Untuk pertanyaan boleh e-mel ke info@lifestylemedicinemalaysia.org atau hubungi talian WhatsApp 012-3935016.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan