MERSING, 13 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perpaduan di negara ini akan terjamin jika hak majoriti Melayu dan Islam dipertahankan tanpa menafikan hak kaum lain yang juga merupakan warganegara Malaysia.
Beliau berkata hal itu merupakan asas perpaduan negara yang dipegang selama ini.
“Kalau kita mahu jamin perpaduan, negara ini majoriti Melayu, Islam, mesti pertahankan hak mereka. Tapi negara ini juga mesti jamin hak semua warganegara, (kaum) Cina, India, Orang Asli, Dayak, Kadazan,” katanya pada sesi Temu Anwar bersempena Perhimpunan Agung Pengakap Johor ke-27 (PAPJ27) di sini, hari ini.
Mengenai peranan dan tanggungjawab golongan muda sebagai pemimpin dan pewaris masa depan negara, Anwar berkata golongan itu perlu diberikan ruang, latihan serta kesempatan seluas-luasnya untuk membina disiplin dan kemahiran mereka.
“Kalau anak-anak muda yang cukup terlatih dan disiplin, masa depan kita itu lebih terjamin. Siapa yang akan menjadi pewaris? Anak-anak muda. Siapa yang menentukan masa depan? (anak muda),” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini memberikan tumpuan kepada agenda keamanan, keterhubungan digital serta tenaga serantau yang dapat memperkukuh hubungan antara negara anggota.
Beliau turut menyambut baik cadangan untuk mengadakan perhimpunan pengakap ASEAN sebagai platform memperkukuh kerjasama belia di rantau ini.
Katanya pergerakan pengakap akan kekal relevan sepanjang zaman kerana nilai asas yang dipupuk persatuan itu ialah kemanusiaan dan ihsan.
“Dia (pengakap) relevan 100 tahun lalu, dia akan relevan 100 tahun akan datang, melainkan manusia itu sudah hilang kemanusiaannya. Kalau manusia kekal menjadi manusia, badan-badan yang memupuk nilai manusiawi kemanusiaan atau insani yang ini, akan kekal relevan.
“Cuma tentulah, ada kemahiran (pengakap) dahulu tak cakap soal digital, tak bicara soal AI. Sekarang kita bicara soal itu. Tapi dia (pengakap) tak hilang tunggaknya. Apa tunggaknya? Kemanusiaan dan ihsan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial