BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tahap Pengetahuan Reproduktif Remaja Masih Rendah – Nancy

13/09/2025 02:01 PM

KUCHING, 13 Sept (Bernama) -- Tahap pengetahuan golongan kanak-kanak dan remaja di negara ini mengenai kesihatan reproduktif masih pada tahap rendah meskipun pendedahan maklumat semakin mudah diperoleh melalui media sosial.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata usaha berterusan dengan kerjasama kerajaan dan semua pihak termasuk ahli keluarga diperlukan bagi memastikan isu itu dapat ditangani secara berkesan.

“Masyarakat juga perlu lebih terbuka dalam isu ini. Kita tidak mahu apabila program atau pendidikan kesihatan reproduktif dianjurkan, ada pihak beranggapan ia memberi peluang kepada remaja untuk mencuba (melakukan aktiviti seks).

“Sebaliknya, apa yang kita lakukan mencari bahan dan pendekatan terbaik untuk dikongsi sekali gus memberi kesedaran kepada ibu bapa,” katanya kepada pemberita pada Program Advokasi PEKERTI peringkat Sarawak di Sekolah Kebangsaan Gersik di sini hari ini.

Berdasarkan Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 oleh Institut Kesihatan Awam, tahap pengetahuan reproduktif dalam kalangan kanak-kanak dan remaja masih rendah, malah prevalens tingkah laku seksual dalam kalangan remaja meningkat kepada 7.6 peratus pada 2022 berbanding 7.3 peratus pada 2017.

Lebih membimbangkan, kajian itu turut mendedahkan umur kali pertama melakukan hubungan seksual adalah seawal 13 tahun.

Susulan itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah melaksanakan pelbagai program advokasi secara berstruktur termasuk Modul Cakna Diri Lelaki bagi mendidik anak lelaki supaya lebih bertanggungjawab dalam tingkah laku seksual.

Dalam pada itu, Nancy berkata selain pendidikan reproduktif, kementerian turut memperkukuh perlindungan kanak-kanak melalui Program Advokasi KASIH KPWKM di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diperluas ke 30 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) di seluruh negara.

Bagi tahun ini, program berkenaan disasar dilaksanakan pada sekurang-kurangnya 300 sekolah, dengan tumpuan kepada aspek keselamatan dalam talian.

Pada program sama, turut dianjurkan Sentuhan KASIH: Khatan Perdana yang melibatkan 100 pelajar sekolah rendah dari empat sekolah di sekitar kawasan berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan