BELANJAWAN 2025 > BERITA

KPJ Healthcare Perkukuh Kesihatan Ibu Dan Anak Menerusi Jelajah MADANI BFHI

13/09/2025 05:39 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar di Malaysia KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare), memperkukuh komitmen mereka terhadap kesihatan ibu dan anak menerusi Jelajah MADANI Inisiatif Hospital Rakan Bayi (BFHI) 2025, bagi Wilayah Tengah pada Khamis.

KPJ Healthcare menerusi kenyataan memaklumkan acara anjuran Pusat Laktasi Kebangsaan, Kementerian Kesihatan (KKM) itu berlangsung di Tawakkal Specialist Hospital (TSH) dan dirasmikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa Dzulkefly turut menyambut baik kepimpinan KPJ Healthcare dalam memajukan amalan penyusuan susu ibu secara eksklusif.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan pada majlis pelancaran program itu berkata sebanyak 20 hospital KPJ telah mendapat pengiktirafan BFHI di seluruh negara, iaitu jumlah tertinggi dalam sektor swasta.

“Kami melihat ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kami untuk menetapkan penanda aras bagi penjagaan berkualiti, selaras dengan ‘Care for Life’ yang kami amalkan dalam setiap aspek penjagaan pesakit,” katanya.

Bagaimanapun, Chin berkata inisiatif Hospital Rakan Bayi bukan sekadar akreditasi, sebaliknya mengenai memberikan setiap bayi permulaan hidup terbaik serta memastikan golongan ibu mendapat sokongan penuh sepanjang perjalanan penyusuan.

Menurut kenyataan KPJ Healthcare, BFHI merupakan sebuah inisiatif global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), yang mengiktiraf hospital mengutamakan penyusuan susu ibu sebagai asas kepada permulaan hidup yang sihat.

Akreditasi memerlukan pematuhan ketat termasuk pelaksanaan “10 Langkah Ke Arah Penyusuan Susu Ibu yang Berjaya”, serta pencapaian kadar penyusuan eksklusif sekurang-kurangnya 75 peratus dalam kalangan ibu yang telah discaj.

“TSH telah menerima pengiktirafan BFHI sejak November 2014 dan kini telah memasuki kitaran pembaharuannya yang keempat, yang membuktikan komitmen berterusan terhadap penyusuan susu ibu dan penjagaan ibu serta anak.

“Hospital KPJ lain di Wilayah Tengah juga mengekalkan rekod akreditasi kukuh, dengan ada yang kini memasuki kitaran ketujuh,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, sebanyak 10 hospital KPJ di Wilayah Tengah mengambil bahagian dalam Jelajah MADANI BFHI kali ini termasuk Ampang Puteri Specialist Hospital, KPJ Selangor Specialist Hospital, KPJ Kajang Specialist Hospital, Damansara Specialist Hospital dan KPJ Rawang Specialist Hospital, dengan TSH sebagai tuan rumah.

Menurut kenyataan KPJ Healthcare, program itu juga menyaksikan sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia pada peringkat hospital swasta, dengan tema “Utamakan Penyusuan Susu Ibu: Bina Sistem Sokongan yang Mampan” yang menekankan tanggungjawab bersama penyedia penjagaan kesihatan, keluarga dan komuniti dalam menyokong ibu menyusu.

Jelajah MADANI BFHI Wilayah Tengah turut menampilkan reruai pendidikan oleh hospital KPJ, dengan demonstrasi urutan belakang untuk ibu, kaedah pemerahan dan penyimpanan susu serta teknik urutan bayi.

Aktiviti itu disokong oleh ceramah yang dikendalikan pakar serta sesi kaunseling percuma daripada pasukan BFHI KPJ yang bertujuan untuk mendidik dan memperkasakan para ibu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan