BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tiga Langkah Segera Pulih Bekalan Di Pantai Timur - Sabah Electricity

14/09/2025 05:52 PM

KOTA KINABALU, 14 Sept (Bernama) -- Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) melaksanakan tiga langkah segera bagi memulihkan bekalan elektrik di enam daerah Pantai Timur Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Yaakob Jaafar berkata langkah pertama ialah melakukan pintasan sementara melibatkan talian penghantaran dari Kimanis ke Segaliud.

“Kita akan melaksanakan perkara ini dalam tempoh dua hari bermula hari ini, dan dalam tempoh itu dijangka 70,000 pengguna akan terjejas semasa beban puncak kerana berlaku kekurangan kapasiti penjanaan di Pantai Timur.

“Sebelum pintasan siap, kita akan melakukan rotatian (penggiliran) catuan bekalan elektrik di Pantai Timur semasa beban puncak,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Mohd Yaakob berkata langkah kedua melibatkan pemasangan dua menara kecemasan sementara bagi membantu menstabilkan bekalan seperti dilakukan di Ranau tahun lepas.

“Struktur ini akan dipasang di tapak menara nombor 5 yang tumbang berdekatan Kampung Sarapong, Penampang dengan pemasangan dijangka mengambil masa lapan hari,” katanya.

Mohd Yaakob berkata langkah ketiga ialah pembinaan sebuah menara kekal di kawasan sama yang akan dilakukan selepas pemasangan dua menara kecemasan itu siap.

“Kita berharap cuaca akan memihak kepada kita bagi melaksanakan semua langkah ini,” katanya.

Beliau berkata ketika ini Sabah Electricity membahagikan sistem grid kepada Sandakan Island dan Tawau Island dengan mengaktifkan stesen jana kuasa tempatan termasuk penjana kuasa bebas (IPP) di dua lokasi itu, namun kapasiti bekalan masih terhad.

Sandakan Island membabitkan Kinabatangan dan Beluran manakala Tawau Island melibatkan Lahad Datu, Kunak, Semporna serta Tawau.

Terdahulu, Mohd Yaakob berkata gangguan bekalan elektrik di Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak dan Semporna semalam, ekoran struktur menara nombor 5 itu tumbang akibat tanah runtuh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan