BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kementerian Teliti Pindaan Undang-Undang Perkukuh Perlindungan Kanak-Kanak - Nancy

14/09/2025 06:27 PM

KUCHING, 14 Sept (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang meneliti penambahbaikan atau pindaan undang-undang berkaitan bagi memperkukuh perlindungan awal terhadap kanak-kanak daripada jenayah seksual, khususnya di media sosial dan aplikasi dalam talian.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata sesi libat urus dan perbincangan sedang giat dilaksanakan bersama pelbagai pihak, termasuk pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat, khususnya ibu bapa. 

“Usaha itu dipergiat seiring dengan cabaran perkembangan teknologi dan digital, khususnya kes pedofilia yang cuba kita bendung dari peringkat awal,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak di Samariang Aman di sini hari ini.

Nancy berkata beberapa cadangan konkrit masih perlu dibentangkan sebelum kerajaan mengusulkan penambahbaikan atau pindaan terhadap akta berkaitan, antaranya Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 bagi memastikan perlindungan menyeluruh.

“Kami mahu undang-undang ini bersifat komprehensif, bukan sekadar terhad kepada siasatan polis semata-mata. Ia perlu melibatkan semua pihak, khususnya masyarakat setiap negeri. Sebarang pandangan atau cadangan akan kita pertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata sesi libat urus setakat ini mendapat sambutan menggalakkan, terutama daripada ibu bapa sekali gus menunjukkan tahap kesedaran masyarakat semakin baik walaupun statistik jenayah seksual terhadap kanak-kanak mencatatkan peningkatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan