BELANJAWAN 2025 > BERITA

Wan Junaidi Seru Rakyat Pertahan Keharmonian, Anak Muda Pacu Pembangunan Sarawak

14/09/2025 06:28 PM

KUCHING, 14 Sept (Bernama) -- Kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang hidup secara harmoni merupakan aset tidak ternilai dan wajar terus dipelihara sebagai asas kemakmuran negeri, kata Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata perpaduan itu terbukti melalui amalan meraikan pelbagai perayaan secara bersama-sama termasuk Hari Raya Aidilfitri, Gawai Dayak, Tahun Baharu Cina dan Krismas menjadikan Sarawak contoh toleransi kepada dunia.

“Saya menyeru seluruh rakyat mempertahankan legasi ini dengan menanam semangat patriotisme, menghargai perbezaan dan memupuk rasa hormat antara satu sama lain,” katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia 2025 di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata tema Hari Malaysia 2025 “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” serta “Sarawak Maju Makmur Dalam Malaysia” pada peringkat nasional dan negeri, mencerminkan komitmen kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat seiring pembangunan ekonomi berasaskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan sosial dan keadilan.

Beliau berkata menerusi semangat Malaysia MADANI, rakyat Sarawak diseru untuk meningkatkan usaha memacu pembangunan ekonomi, memperkukuh kestabilan sosial dan memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata masa depan negeri dalam sektor seperti ekonomi baharu, pendidikan dan infrastruktur moden bergantung kepada penglibatan generasi muda yang perlu melengkapkan diri dengan pendidikan serta kemahiran seiring hala tuju pembangunan Sarawak.

“Sehubungan itu, saya ingin melihat anak-anak Sarawak melibatkan diri dengan semua inisiatif kerajaan negeri dengan mengambil pengajian yang sesuai serta selaras supaya menjadi tenaga kerja diperlukan dalam sektor tersebut bagi memastikan kejayaan dan kelestarian ekonomi baharu,” katanya. 

Wan Junaidi berkata Sarawak berada pada landasan tepat untuk mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM282 bilion menjelang 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, dengan hasil negeri meningkat kepada RM14.2 bilion pada 2024 berbanding RM5.6 bilion pada 2017. 

Beliau berkata pada tahun lepas, jumlah perdagangan Sarawak mencecah RM193.4 bilion, menjadikannya penyumbang keempat terbesar eksport negara dengan produk petroleum dan gas asli cecair (LNG) sebagai eksport utama negeri. 

Selain itu, Wan Junaidi menegaskan kemajuan Sarawak tidak akan tercapai tanpa kerjasama strategik antara kerajaan, pihak swasta dan rakyat, selain mengekalkan kestabilan politik serta perpaduan masyarakat.

“Sebagaimana sebuah kapal memerlukan nakhoda yang bijak dan kelasi berkemahiran, demikian juga perjalanan kepimpinan. Dengan kesepakatan dan kebijaksanaan inilah Sarawak akan terus melayari samudera pembangunan menuju kegemilangan, bukan sahaja di Malaysia malah di pentas dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan