BELANJAWAN 2025 > BERITA

Anwar Berlepas Ke Doha Malam Ini, Hadiri Sidang Kemuncak Tergempar OIC

14/09/2025 07:26 PM

SUBANG, 14 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Doha, Qatar malam ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam yang dijadual berlangsung Isnin, di ibu negara berkenaan.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini, pada 7 malam.

Anwar menghadiri sidang kemuncak tergempar itu atas jemputan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani susulan perkembangan terkini membabitkan serangan Israel terhadap negara itu.

Delegasi Anwar disertai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, pegawai-pegawai kanan Kementerian Luar dan kemudian akan disertai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan ketika di Qatar.

Hadir mengiringi Perdana Menteri di Pangkalan Udara TUDM ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar dijadual menyampaikan Kenyataan Negara pada sidang kemuncak tergempar itu bagi menegaskan pendirian tegas Malaysia bahawa keamanan serantau dan dunia terancam sekiranya Israel terus mencabul undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kedaulatan negara.

Wisma Putra dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan penyertaan Perdana Menteri dalam persidangan berkenaan menunjukkan sokongan penuh dan solidariti terhadap Qatar, selain kesinambungan usaha Malaysia mempertahankan hak rakyat Palestin serta mengecam kekejaman dan keganasan Israel.

Menurut kenyataan itu, satu resolusi yang menggariskan tindakan dan pendirian bersama negara anggota dalam menangani perkembangan tersebut dijangka diluluskan pada sidang kemuncak berkenaan.

Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam yang dihadiri pemimpin dan wakil negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan didahului Mesyuarat Persediaan Peringkat Menteri Arab-Islam awal hari ini (14 Sept).

Persidangan itu antara lain akan membincangkan perkembangan mutakhir di Gaza, Palestin dan serangan ganas Zionis ke atas wilayah berkenaan yang sebelum ini disifatkan Anwar sebagai amat melampau.

Menurut laporan media antarabangsa, sidang kemuncak tergempar itu diadakan bagi membincangkan serangan Zionis ke atas Doha pada 9 Sept lepas yang didakwa menyasarkan kepimpinan politik Hamas yang ketika itu bermesyuarat mengenai cadangan gencatan senjata Gaza disokong Amerika Syarikat.

Serangan di kawasan Leqtaifiya itu melibatkan kira-kira 15 jet pejuang Zionis, mengorbankan enam orang termasuk anak kepada pemimpin kanan Hamas Khalil al-Hayya, pengarah pejabatnya serta seorang pegawai keselamatan Qatar, sementara pemimpin utama Hamas dilaporkan terselamat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan