Daripada Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
DOHA, 15 Sept (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan kenyataan negara pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam malam ini, dengan mengecam serangan udara terbaharu Israel di Doha yang menyasarkan kepimpinan Hamas serta menekankan penderitaan kemanusiaan berterusan di Gaza.
Anwar dijangka berucap pada sidang kemuncak itu pada 6 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia).
Beliau akan menegaskan semula solidariti Malaysia yang tidak berbelah bahagi dengan Qatar serta komitmen teguh mempertahankan hak rakyat Palestin, selain mengecam kekejaman Israel.
Perdana Menteri menghadiri sidang kemuncak itu atas jemputan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani.
Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad pada 9.30 malam semalam waktu tempatan (2.30 pagi waktu Malaysia, 15 Sept) dan menerima kawalan kehormatan daripada Pengawal Istiadat Amiri Qatar dan disambut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Qatar Sheikh Saoud bin Abdulrahman Al-Thani.
Sidang kemuncak itu akan dihadiri pemimpin dan wakil negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Antara pemimpin yang dijangka hadir ialah Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, Perdana Menteri Iraq Mohammad Shia al-Sudani dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas.
Di sela-sela sidang kemuncak, Anwar juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin negara Islam.
Mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan serta pegawai kanan Kementerian Luar Negeri.
Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam dijangka mengeluarkan Kenyataan Bersama yang merangkumi tindakan kolektif serta pendirian bersama berhubung isu tersebut.
Sebelum sidang kemuncak berlangsung, diadakan Mesyuarat Peringkat Menteri pada 14 Sept.
Antara agenda utama ialah perkembangan terkini di Gaza dan Palestin, serta serangan udara Israel di Doha yang menyasarkan kepimpinan Hamas dan mengorbankan enam individu termasuk seorang pegawai keselamatan Qatar.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial