BELANJAWAN 2025 > BERITA

Empat Kampung Di Behrang Ulu Terjejas Akibat Hujan Lebat

15/09/2025 11:57 AM

IPOH, 15 Sept (Bernama) -- Empat kampung sekitar Behrang Ulu dekat Tanjong Malim terjejas akibat banjir kilat berikutan hujan lebat melanda kawasan itu awal pagi tadi. 

Menurut Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Muallim, kampung yang terlibat ialah Kampung Sungai Sekiah, Kampung Batu 7, Kampung Baru Behrang Ulu dan Kampung Batu 8.

Enam keluarga dari Kampung Sungai Sekiah dan Kampung Batu 7 telah ditempatkan sementara di Dewan Orang Ramai Kampung Sekiah.

"Setakat ini, 15 keluarga daripada dua kampung ditempatkan di dewan berkenaan dan sekiranya dalam tempoh dua jam paras air terus naik, baru kita akan mengisytiharkan pembukaan pusat pemindahan sementara secara rasmi.

"Kejadian itu turut mengakibatkan kira-kira 50 penduduk daripada 27 rumah terjejas selepas air naik mendadak bermula kira-kira 5 pagi," menurut PKOD APM ketika dihubungi Bernama. 

Jalan utama di Behrang Ulu, iaitu  FT 1 Jalan Tanjung Malim-Slim River (Behrang Ulu) hanya dibuka kepada kenderaan berat. 

Sementara itu, Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata lebih 20 mangsa dilaporkan terperangkap dalam kejadian banjir yang melanda Kampung Simpang 4 Dalam, di Tanjong Malim, awal pagi tadi. 

Shazlean berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.02 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim bersama BBP Slim River bergegas ke lokasi.

“Jentera pertama tiba di lokasi pada 6.50 pagi, kira-kira 3.1 kilometer dari balai berdekatan melibatkan 16 anggota dengan kekuatan logistik membabitkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan van utiliti.

"Setakat ini, lebih 20 mangsa terperangkap dan operasi menyelamat sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pegawai Daerah Muallim merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Muallim Mohd Sabli Bakri dalam kenyataan berasingan memaklumkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Sekiah telah dibuka pada 10.30 pagi.

Beliau berkata pembukaan PPS itu adalah bagi menyelamat dan menempatkan beberapa keluarga yang rumah mereka terjejas dengan limpahan air banjir akibat hujan lebat di Kampung Batu 7, Kampung Sekiah dan kawasan sekitar.

PKOD APM Daerah Muallim dalam kenyataan berasingan pula memaklumkan hujan lebat berterusan lebih dua jam sejak 8.15 pagi telah menyebabkan air Sungai Bernam melimpah ke kawasan kediaman dan tapak perkhemahan berhampiran di Kampung Simpang 4 Dalam.

“Kira-kira 9 pagi, APM Muallim selamat tiba di Kampung Simpang 4 Dalam dan didapati keadaan pekarangan rumah penduduk dan tapak perkhemahan dinaiki air pada paras 1.5 meter disebabkan limpahan air dari sungai yang berada 5 meter jarak dari rumah dan tapak perkhemahan selain jalan raya kampung terputus.

“Seramai 100 mangsa telah terperangkap dalam kejadian itu sebelum APM Muallim, polis dan bomba serta agensi yang lain berjaya selamatkan semua mangsa yang terperangkap, kira-kira 9.45 pagi,” menurut kenyataan itu.

PKOD APM Daerah Muallim turut memaklumkan bahawa tiada PPS dibuka manakala air di sekitar Kampung Simpang 4 Dalam telah surut dan keadaan semasa cuaca adalah mendung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan