BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pasar Payang Tumpuan Pelancong Musim Cuti Sekolah

15/09/2025 12:04 PM

Oleh Noor Aznida Alias

KUALA TERENGGANU, 15 Sept (Bernama) -- Percutian ke Terengganu terutama pada musim cuti  pastinya tidak lengkap tanpa mengunjungi Pasar Payang.

Pelbagai jenis produk tradisional dan moden, sama ada makanan, pakaian dan barangan kemas yang terdapat di pusat jualan ikon negeri itu menjadikannya antara lokasi wajib pelancong apabila bertandang ke negeri Sang Penyu.

Tinjauan Bernama di Pasar Payang 1 dan Pasar Payang 2 yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu mendapati ribuan pelancong tempatan dan luar mula membanjiri kedai yang beroperasi seawal 8 pagi.

Peniaga pakaian, batik dan sutera Siti Nuramalina Mohd Zubir, 37, berkata dia memulakan perniagaan lebih awal pada musim cuti sekolah bagi memudahkan pelanggan yang ingin membeli-belah pada awal pagi. 

Nuramalina berkata antara produk yang paling mendapat sambutan ialah kemeja lelaki, seluar batik dan baju kaftan atau lebih dikenali sebagai ‘baju kelawar’ oleh penduduk tempatan.

"Hari Sabtu lepas dah mula banyak orang luar yang datang membeli-belah di sini. Paling laris ‘baju kelawar’ yang harganya antara RM15 hingga RM45 sehelai, bergantung kepada kualiti kain dan corak.

"Semalam ada seorang pelanggan dari Johor beli 30 helai ‘baju kelawar’ untuk dihadiahkan kepada kawan-kawan dan ahli keluarga. Alhamdulillah, secara keseluruhan semalam saya dah jual lebih kurang 100 helai.

"Harapkan musim cuti kalau nak dapat rezeki lebih. Hari biasa jualan memang perlahan kerana hanya harapkan penduduk tempatan," katanya.

Nuramalina yang mewarisi perniagaan keluarga berkata dia tidak pernah mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan terhadap pelancong dari luar seperti dakwaan segelintir pihak terhadap peniaga di Terengganu.

Sebaliknya, dia memberi potongan harga sekiranya pelanggan membeli dalam kuantiti yang banyak.

"Keluarga saya sudah lebih 40 tahun berniaga di pasar. Pada kami semua pelanggan sama ada orang luar atau tempatan mereka istimewa dan perlu dilayan sama rata.

"Harga barangan yang kami jual sama sahaja, baik orang tempatan mahu pun orang luar. Jika pandai tawar-menawar lebih banyak diskaun boleh dapat," katanya yang turut dibantu oleh suaminya.

Sementara itu, peniaga produk perkakasan dapur Wan Saidah Wan Abdul Ghani, 35, berkata jualannya akan meningkat sekali ganda, iaitu lebih RM800 sehari pada musim cuti sekolah berbanding RM300 hingga RM400 pada hari biasa.

Sebahagian besar pelanggan terdiri daripada golongan wanita yang berminat membeli periuk untuk tujuan menambah koleksi atau kegunaan harian.

"Musim cuti sekolah amat dinanti-nantikan peniaga kerana masa inilah kami boleh dapat duit lebih. Sewa kedai di Pasar Payang 1 yang baharu ini agak tinggi, iaitu kira-kira RM400 sebulan, jadi kami perlu tingkatkan jualan untuk tampung kos sewa dan juga elektrik," katanya yang menjual lebih 20 jenis barangan.

Dalam pada itu, pelancong dari Kuala Lumpur Rosnaini Minhat, 45, berkata Pasar Payang menjadi lokasi wajib singgah apabila bercuti ke Kuala Terengganu.

Selain keropok keping, serunding daging dan baju kaftan, beliau juga tidak melepaskan peluang membeli barangan kemas kerana harganya lebih rendah berbanding di ibu kota.

"Saya dan keluarga selalu juga datang ke Terengganu… paling kurang  setahun sekali. Pasar Payang memang tempat kegemaran kami sekeluarga. Semua barang ada di sini daripada makanan, pakaian, peralatan rumah, cenderamata dan macam-macam lagi.

"Harga emas di sini juga lebih murah berbanding kedai di Kuala Lumpur. Mungkin kerana kadar upahnya lebih rendah. Malah, warna emasnya juga lebih cantik dan berkilau. Banyak juga barang kemas saya dibeli di Terengganu," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan