BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sukan SEA Thailand: Cabaran Berat Menanti Skuad Terjun Negara - Aznizal

15/09/2025 01:38 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Pasukan terjun negara dijangka berdepan cabaran sukar untuk mendominasi sukan itu di Sukan SEA Thailand hujung tahun ini, susulan peningkatan yang ditunjukkan beberapa negara terutamanya Singapura.

Meskipun begitu jurulatih pasukan terjun Aznizal Najib berkata beliau sedang giat mempersiapkan anak buahnya bagi memastikan Malaysia kekal mendominasi sukan itu.  

Beliau percaya penerjun negara masih di landasan tepat untuk menjadi gergasi terjun Asia Tenggara berdasarkan prestasi pada Kejohanan Terjun Kumpulan Umur Jemputan Malaysia (MIAG) ke-60, semalam.

"Saya jangkakan Sukan SEA kali ini cukup sengit. Kita juga ambil maklum berkenaan atlet Singapura yang beraksi cemerlang di Kejohanan Dunia yang lepas.

"Bagaimanapun, kita masih boleh bagi cabaran kepada mereka jika kita kerja keras dan kita masih ada beberapa bulan lagi untuk bersedia sebelum kejohanan," katanya ketika ditemui semalam.

Untuk rekod pada Sukan SEA Thailand, sukan terjun menawarkan empat emas menerusi acara satu meter (m) dan tiga m papan anjal lelaki, tiga m papan anjal seirama lelaki dan 10 m platform seirama wanita.

Dalam pada itu, Aznizal berkata penerjun platform negara Elvis Priestly Clement akan menumpukan kepada papan anjal untuk baki kejohanan yang disertainya tahun ini selepas mengalami kecederaan di bahagian belakang kiri selain mempersiapkan diri untuk Sukan SEA.

"Memang tahu dia cedera, dua minggu sebelum. Untuk MIAG dia cuba bertanding cuma tidak bertanding dalam acara kegemaran, iaitu platform.

"Buat masa sekarang dia (Elvis) memang fokus papan anjal and kecederaan dia itu harap beberapa minggu lagi akan okey," katanya.

Aznizal berkata selepas ini mereka akan menyertai Kejohanan Akuatik Asia di India (28 Sept hingga 1 Okt) dan Terbuka Malaysia (31 Okt hingga 2 Nov) sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Thailand.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan