TAIPING, 15 Sept (Bernama) -- Jabatan Muzium Perak dengan kerjasama Persatuan Warisan Taiping, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan The Crafting Music Pianos Kuala Lumpur menganjurkan Program Memori dan Muzik @ Muzium Perak di Muzium Perak di sini, semalam.
Program hasil cetusan idea Persatuan Warisan Taiping itu sebahagian daripada Program Legasi 2025 yang berlangsung tiga hari sejak Jumaat lepas di beberapa lokasi, antaranya Maxwell BaseCamp dan Perpustakaan Awam Taiping.
Program Legasi 2025, acara yang menyatukan warisan melalui persembahan seni seterusnya mewujudkan pengalaman imersif kepada penonton, memahami nilai warisan, menghayati identiti budaya melalui muzik, nyanyian dan tarian.
Pengarah Jabatan Muzium Perak Mohd Nasrulamiazam Mohd Nasir berkata inisiatif itu bertujuan menjadikan muzium bukan hanya sebagai tempat pameran artifak semata-mata, sebaliknya sebagai pusat pengembangan idea warisan dan seni yang lebih dekat dengan masyarakat.
Beliau berkata penganjuran itu juga berperanan menarik khalayak daripada pelbagai kaum tanpa mengira latar belakang untuk menikmati seni budaya dalam suasana inklusif sekali gus menyatukan masyarakat melalui muzik.
"Persembahan itu seolah-olah menjadi voice of spirit yang menghidupkan roh muzium. Kita mahu masyarakat melihat muzium sebagai institusi yang hidup dengan fungsi baharu, bukan sesuatu yang kaku hanya dalam bentuk pameran atau artifak semata mata.
"Penonton yang hadir dalam kalangan pelbagai kaum dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan malah ada yang sanggup datang dari Singapura semata-mata untuk melihat persembahan nyanyian dalam muzium.
"Kita melihat kepelbagaian kaum yang datang, di situ ada simbol atau lambang penyatuan setiap kaum tanpa rasa prejudis, perkauman. Kita bersatu dalam konsep muzik, nikmati persembahan tanpa ada garis sempadan setiap kaum," katanya ketika ditemui Bernama di sini semalam.
Mohd Nasrulamiazam berkata pihaknya menyediakan lokasi dan fasiliti termasuk pengurusan program manakala kos penganjuran ditanggung sepenuhnya oleh Persatuan Warisan Taiping.
"Saya berharap selepas ini program muzik sebegini dapat diadakan dalam skala yang lebih besar seperti mini konsert dengan penglibatan orkestra dan pelbagai alatan muzik yang lain," katanya.
Program Memori dan Muzik @ Muzium Perak yang berlangsung kira-kira sejam itu dikendalikan oleh Dr Ang Mei Foong, seorang soprano daripada UPM.
Program berkenaan dipersembahkan oleh kumpulan muzik Dendang Suara Serantau terdiri daripada penuntut UPM yang menampilkan konsep muzik bergerak melalui galeri-galeri di Muzium Perak.
Penonton dibawa menikmati nyanyian merdu dan harmoni vokal berkualiti tinggi sambil menghayati warisan koleksi yang dipamerkan secara unik dan imersif dengan mendendangkan aneka lagu rakyat dan klasik tempatan.
Dalam pada itu, Mohd Nasrulamiazam berkata program kolaborasi antara Jabatan Muzium Malaysia (JMM) melalui 22 muzium di bawahnya sangat digalakkan, dan kerjasama dengan Persatuan Taiping dan The Crafting Music Pianos Kuala Lumpur akan dicadangkan diadakan pada masa hadapan pada peringkat atasan.
"Usaha itu bertujuan menggalakkan program kebudayaan dan seni secara bersama sekali gus memanfaatkan kepakaran dan sumber daripada pelbagai pihak.
"Kerjasama strategik ini dilihat berpotensi besar dalam memperkaya khazanah seni dan budaya negara, di samping menarik lebih banyak pengunjung ke muzium dan acara yang dianjurkan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial