BELANJAWAN 2025 > BERITA

"Streets Of Harmony" Seberang Jaya Simbol Perpaduan Pulau Pinang

15/09/2025 06:37 PM

Oleh Siti Azila Alias

BUTTERWORTH, 15 Sept (Bernama) -- Tidak ramai mengetahui di tengah-tengah kepesatan bandar Seberang Jaya, Pulau Pinang wujud sebuah kawasan unik yang menjadi lambang perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dikenali sebagai “Streets of Harmony”.

Terletak di persimpangan Jalan Todak dan Lorong Jelawat 4, kawasan itu menempatkan sembilan rumah ibadat termasuk masjid, kuil Hindu, kuil Buddha, kuil Tao, gurdwara Sikh dan gereja Kristian yang dibina berdekatan antara satu sama lain.

Semua rumah ibadat tersebut berada dalam lingkungan 300 meter dan boleh dicapai dengan berjalan kaki sekali gus memberi gambaran nyata bahawa masyarakat berbeza agama mampu hidup bersama dalam suasana penuh hormat dan saling memahami.

Pengurus Besar Penang Harmony Corporation Sdn. Bhd. (Harmonico) Paul Au Chong Yee berkata Streets of Harmony Seberang Jaya merupakan lokasi kedua diwujudkan di Pulau Pinang selepas George Town, dan telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow pada 16 Sept 2022 bersempena Hari Malaysia.

Beliau berkata pemilihan tarikh itu amat signifikan kerana mencerminkan penyatuan masyarakat berbilang kaum dan agama yang hidup harmoni, selari dengan semangat pembentukan Malaysia yang menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada 1963.

“Streets of Harmony merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk memperkenalkan serta meraikan kepelbagaian budaya di Pulau Pinang, di samping menggalakkan interaksi antara masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Projek ini bukan bertujuan mempromosikan ajaran agama tertentu, sebaliknya kawasan itu sendiri membangkitkan semangat perpaduan apabila masyarakat majmuk dapat hidup bersama dalam suasana saling menghormati,” katanya kepada Bernama.

Chong menjelaskan Harmonico turut memperkenalkan Jelajah Harmoni Seberang Jaya iaitu modul pendidikan khas yang memberi peluang kepada orang ramai, khususnya generasi muda untuk memahami konsep keharmonian melalui lawatan berkumpulan ke rumah ibadat dengan bimbingan fasilitator sukarelawan terlatih.

Modul itu dibangunkan sebagai projek rintis pada 2023 sebelum dilaksanakan sepenuhnya tahun lepas dan turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di peringkat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) bagi membolehkan pelajar menyertainya sebagai aktiviti kokurikulum elektif.

Beliau memaklumkan ketika ini terdapat empat lokasi Streets of Harmony di Pulau Pinang iaitu di George Town, Seberang Jaya, Bukit Mertajam dan Bayan Baru, malah pihaknya bercadang memperluas inisiatif itu ke kawasan lain termasuk Sungai Pinang, Pulau Tikus, Batu Feringghi, Teluk Bahang dan Bukit Tambun sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai “City of Harmony”.

Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” akan berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth esok dengan dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.

Edisi kali ini berlangsung di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan