BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tanah Runtuh: Tujuh Termasuk Empat Kanak-kanak Maut Di Kampung Cenderakasih - Polis

15/09/2025 06:58 PM

INANAM, 15 Sept (Bernama) -- Tujuh orang termasuk empat kanak-kanak disahkan maut selepas tertimbus tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong di sini dalam kejadian yang berlaku pada 9.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata mangsa kanak-kanak terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan berumur antara dua hingga sembilan tahun.

Beliau berkata tiga lagi mangsa terdiri dua wanita dan seorang lelaki berumur 25 hingga 50 tahun, manakala empat lelaki terselamat dalam kejadian tersebut.

“Semua mayat mangsa ditemukan antara 12.30 tengah hari hingga yang terakhir pada 3.45 petang, sekali gus operasi mencari dan penyelamat ditamatkan.

“Kesemua mangsa tinggal dalam sebuah rumah yang dihuni sembilan orang manakala dua orang lagi yang juga ahli keluarga datang untuk menumpang tidur di rumah berkenaan. Seorang mangsa yang selamat mengalami kecederaan patah kaki,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Queen untuk tindakan lanjut.

Kasim berkata pasukan mencari dan menyelamat mengalami sedikit kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana tertimbus sedalam antara 2 hingga 3 meter selain timbunan sampah sarap dan pokok tumbang.

“Kita terpaksa gunakan jengkaut untuk asingkan sampah di lokasi runtuhan mangsa dan menggunakan tenaga manusia untuk mengeluarkan mangsa yang tertimbus,” katanya.

Beliau berkata kawasan kejadian adalah kawasan persendirian dan arahan telah dikeluarkan agar mereka yang tinggal di kawasan itu supaya berpindah bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berulang.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan