BUTTERWORTH, 16 Sept (Bernama) -- Pameran foto sempena sambutan Hari Malaysia 2025 oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di ruang legar Pusat Konvensyen PICCA@Butterworth Arena di sini, memberi peluang kepada orang ramai menelusuri detik bersejarah pembentukan negara.
Penolong Perpustakaan JAPEN Hirdawati Abdul Rahman berkata pameran itu dibahagikan kepada dua slot utama iaitu berkaitan pembentukan Malaysia dan sambutan Hari Malaysia oleh JAPEN, manakala Bernama menampilkan siri foto bertemakan perpaduan.
“Gambar-gambar ini menunjukkan peristiwa sebelum pembentukan Malaysia kepada pengisytiharan Malaysia dan sambutan Hari Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Antara koleksi yang menarik perhatian ialah foto Suruhanjaya Cobbold yang memainkan peranan penting dalam mendapatkan pandangan rakyat Sabah dan Sarawak sebelum terbentuknya Malaysia pada 1963.
Selain itu, foto yang dipamerkan turut mengikut turutan sambutan awal di Stadium Merdeka, di Sabah dan Sarawak, serta penglibatan Singapura pada ketika itu.
Mengulas lanjut, Hirdawati berkata pameran ini penting bagi mengingatkan generasi kini tentang perjuangan tokoh terdahulu yang berusaha membentuk Malaysia hingga wujudnya negara yang harmoni seperti hari ini.
Sementara itu, Ketua Jurufoto Bernama Mazlan Samion berkata pemilihan koleksi foto untuk pameran itu dibuat dengan teliti melalui arkib Bernama, dengan sebuah pasukan khas ditubuhkan bagi memastikan kualiti dan mesej yang ingin disampaikan menepati tema sambutan.
“Kami memilih gambar yang bukan sahaja indah dari segi visual, tetapi juga membawa mesej tentang kemeriahan dalam perpaduan bagi menghayati sambutan Hari Malaysia itu sendiri.
“Tujuan tidak lain adalah untuk kesedaran dan penerangan tentang sejarah penubuhan Malaysia pada 1963, dari situ Malaysia menjadi negara berbilang kaum yang saling memerlukan,” katanya.
Beliau berkata pameran itu juga menjadi platform menghargai jasa jurufoto Bernama yang bertungkus lumus merakam detik bermakna berunsurkan perpaduan untuk generasi hari ini dan akan datang.
Secara keseluruhan sebanyak 72 keping foto dipamerkan, dengan 16 disumbangkan oleh Bernama manakala selebihnya daripada koleksi JAPEN.
Kemuncak sambutan Hari Malaysia bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” malam ini dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial