BELANJAWAN 2025 > BERITA

Menara KL Disinari Cahaya Biru Dan Emas, Rai 50 Tahun KRT

17/09/2025 12:22 PM

KUALA LUMPUR,17 Sept (Bernama) -- Menara Kuala Lumpur akan disinari cahaya lampu berwarna biru dan emas mulai hari ini hingga 19 Sept sebagai simbolik ulang tahun ke-50 penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata selama lima dekad KRT menjadi jambatan yang menyatukan pelbagai kaum dan agama dalam memperkasa semangat kejiranan, memelihara aspek keselamatan serta meningkatkan ekonomi komuniti setempat.

“KRT menjadi nadi utama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam usaha memperkukuh perpaduan di peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, LSH Service Master Sdn Bhd selaku pengendali Menara Kuala Lumpur menyifatkan lampu khas itu bukan sahaja simbol sokongan tetapi juga satu penghormatan kepada peranan besar KRT dalam menyatukan komuniti sejak lima dekad lepas.

“Sebagai mercu tanda ikonik negara, Menara Kuala Lumpur sentiasa menyokong inisiatif yang membawa mesej perpaduan dan kebersamaan rakyat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn Bhd Khairil Faizal Othman.

Sehingga kini, terdapat 8,586 KRT di seluruh negara merangkumi lapan bidang tumpuan utama iaitu ekonomi dan sara hidup, keselamatan dan ketahanan komuniti, kepimpinan, kesejahteraan komuniti, pembelajaran sepanjang hayat, alam sekitar, warisan dan budaya serta daya cipta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan