PUTRAJAYA, 17 Sept (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik penganjuran Program 'Ceritera Pemimpin' oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang dijadual berlangsung November ini, sebagai langkah proaktif memperkukuh integriti dan tadbir urus dalam organisasi berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, inisiatif tersebut penting untuk membina budaya integriti secara berterusan serta mencerminkan kesungguhan FELDA dalam menyokong usaha membanteras rasuah.
“SPRM amat mengalu-alukan penganjuran ini dan sebagai sokongan, seorang pegawai tambahan dari SPRM akan ditempatkan bagi membantu Unit Integriti FELDA sedia ada supaya pelaksanaan kerja lebih lancar,” katanya ketika menerima kunjungan hormat FELDA di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Program 'Ceritera Pemimpin' yang akan menampilkan Azam sebagai tetamu jemputan, memberi fokus kepada pengurusan tertinggi FELDA termasuk anak-anak syarikat dengan tumpuan kepada latihan pengurusan konflik kepentingan, kawalan risiko strategik serta penerapan amalan terbaik organisasi.
Sementara itu, Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr. Suzana Idayu Wati Osman berkata, antara objektif utama penganjuran itu ialah meningkatkan kesedaran integriti dalam kalangan pemimpin FELDA serta menyampaikan mesej antirasuah secara berterusan kepada seluruh warganya.
“Usaha ini membuktikan FELDA memandang serius isu integriti warga kerja dan sentiasa bersama SPRM dalam memperkukuh tadbir urus serta menangani masalah rasuah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat dengan SPRM akan membantu FELDA membina budaya kerja yang telus, bebas salah guna kuasa serta selari dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh nilai integriti sektor awam.
Turut hadir Pengarah Integriti FELDA, TPj. Mohd Anuar Ismail dan Pengarah Jabatan Modal Insan FELDA, Iswanie Tormadi.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial