BELANJAWAN 2025 > BERITA

Trump Tangguh Tarikh Akhir TikTok Buat Kali Ketiga Tahun Ini

17/09/2025 05:43 PM

ISTANBUL, 17 Sept (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa menandatangani perintah eksekutif yang membolehkan TikTok terus beroperasi selama tiga bulan lagi sehingga 16 Dis, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik The Tech Portal.

Keputusan itu diumumkan selepas tarikh akhir terdahulu dijadual tamat pada 17 Sept, menandakan penangguhan kali ketiga sejak sekatan mula dirancang berkuat kuasa pada 19 Jan, sehari sebelum Trump kembali ke pejabat presiden.

Langkah dibuat susulan laporan bahawa Washington dan Beijing mencapai persetujuan awal mengenai masa depan operasi TikTok di AS.

Walaupun butiran penuh belum didedahkan, pegawai AS berkata perjanjian itu akan memindahkan kawalan perniagaan TikTok di Amerika kepada kumpulan pelaburan yang diterajui syarikat-syarikat AS.

Perjanjian dijangka dimuktamadkan selepas Trump dan Presiden China Xi Jinping mengadakan perbualan telefon pada 19 Sept.

Trump pada Selasa turut berkata sekumpulan syarikat Amerika akan membeli platform media sosial TikTok selepas beliau mencapai persetujuan dengan China bagi mengelakkan aplikasi itu ditutup di AS.

Pada Isnin, Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent berkata perunding telah mencapai rangka kerja perjanjian pemilikan TikTok, dengan Trump dan Xi dijadual berbincang pada Jumaat bagi meluluskan perjanjian itu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan