BELANJAWAN 2024

IBU BAPA KONGSI RASA SYUKUR BAP RM150 BANTU SEDIA KELENGKAPAN SEKOLAH

29/01/2024 03:42 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 yang diberikan kepada setiap murid bermula bulan ini membantu ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan murid bagi menghadapi sesi persekolahan Mac ini.

Ibu bapa ketika ditemui Bernama hari ini berkongsi rasa syukur dengan inisiatif kerajaan melibatkan peruntukan berjumlah RM788,130,000 menerusi Belanjawan 2024 dalam membantu mereka menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

Di Perlis, seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Arau Kpl Zubaidah Mohamad Al Bakri, 48, berkata BAP yang diterima pada minggu lepas memberi kelegaan kepada beliau sekeluarga dalam memenuhi keperluan persekolahan lima anaknya.

“Saya ada 10 anak, lima anak masih bersekolah, tiga orang berada di sekolah menengah, manakala dua lagi di sekolah rendah. Dengan bantuan ini saya boleh membeli kasut dan baju sekolah serta peralatan sekolah mereka yang lain, memang saya lega banyak," katanya kepada Bernama.

Di Pulau Pinang, seorang pembantu klinik Noor Shamira Mohd Noor berkata inisiatif BAP itu membantu beliau sekeluarga dalam membuat persiapan barangan persekolahan untuk tiga anaknya yang bersekolah di sekolah rendah dan menengah di sini.

Berkongsi rasa syukur, Noor Shamira dan suaminya Mohd Azhar Hamzah, 40, berkata bantuan iu cukup bermakna khususnya apabila sesi persekolahan akan bermula pada bulan puasa yang hampir dengan sambutan Aidilfitri.

“Dua orang akan masuk darjah satu dan empat manakala seorang lagi tingkatan satu, jadi memang banyak duit nak guna untuk perbelanjaan nanti...terima kasih kerajaan kerana prihatin dan beri bantuan awal tersebut," katanya.

Sementara itu, di Terengganu, pekerja buruh, Ibrahim Zakaria, 37, dari Paka berkata setiap kali sesi persekolahan bakal bermula, beliau runsing memikirkan untuk memenuhi keperluan anak-anak terutama pakaian, buku dan alat tulis.

Malah, bapa kepada tiga anak itu adakalanya terpaksa berhutang dengan keluarga terdekat untuk menyiapkan kelengkapan persekolahan yang memakan belanja lebih RM500.

"Bagi orang lain RM500 tu mungkin kecil, tetapi pada kami jumlah itu sangat besar...boleh beli barang dapur untuk sebulan. Lebih-lebih lagi sekarang saya dah dua minggu tak bekerja kerana projek telah siap.

“Alhamdulillah dengan bantuan ini, dapatlah beli kasut dan beg baru untuk anak saya yang darjah dua dan empat. Beg lama dah lusuh dan koyak," katanya.

Di Pahang, seorang pekerja swasta Leong Chung Keong, 48, berkongsi bahawa anak perempuannya yang bersekolah di tingkatan empat akan menggunakan BAP itu untuk membeli buku latihan manakala anak bongsunya berusia 11 tahun pula akan menyimpan wang itu untuk kegunaan masa depan. 

Sementara itu, jururawat Yusliza Razali, 40, berkata wang itu sangat membantu memandangkan tiga anaknya masih bersekolah dengan suaminya bekerja sebagai kakitangan kerajaan. 

"Perbelanjaan mula sekolah memang semakin meningkat bila anak membesar. Duit itu membolehkan kami menyiapkan keperluan anak sebaiknya," katanya. 

Di Negeri Sembilan pula Norafidah Assan, 38, yang menerima BAP berjumlah RM300 bagi dua anaknya berusia lapan dan 10 tahun berkata wang itu dapat digunakan untuk membuat persiapan awal dengan membeli buku sekolah anak-anaknya.

“Tahun ini sesi persekolahan dibuka hampir dengan sambutan bulan Ramadan, kewangan perlu diuruskan dengan baik dan teratur, jadi dengan bantuan ini saya dan suami dapat membuat persiapan lebih awal,” katanya.

Berkongsi nada sama, di Johor, seorang ibu kepada dua orang anak yang masih bersekolah  Nur Amienah Md Shukor, 46, dari Batu Pahat bersyukur dengan bantuan BAP berkenaan dan mengharapkan bantuan seperti itu dapat diteruskan setiap tahun.

"BAP ini akan membantu terutamanya kepada golongan B40, selain perlu memikirkan untuk membeli barangan keperluan harian, ibu bapa juga perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk anak-anak setiap kali sesi persekolahan bermula," katanya.

Bagi Noor Azura M Amin, 35, beliau berpandangan BAP merupakan cara kerajaan membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana, termasuk juga ibu bapa yang mempunyai anak ramai.

Di Kelantan, suri rumah Norzasren Atirah Kamarul, 30, berkata beliau bersyukur kerana tiga anaknya mendapat bantuan itu dan akan digunakan dengan sebaik mungkin.

"Bantuan ini memberi penjimatan sebanyak RM450 kepada saya dan ia satu jumlah yang besar untuk membeli baju dan kasut sekolah anak-anak,"katanya ketika ditemui di sebuah sekolah di sini hari ini.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan BAP akan disalurkan kepada sekolah bermula Januari 2024 kepada setiap murid secara tunai atau kredit ke akaun masing-masing.

Inisiatif BAP di bawah Belanjawan 2024 itu memperuntukkan RM788,130,000 dan akan memanfaatkan seramai 5.25 juta murid melalui pemberian RM150 kepada setiap murid secara sekali bayar.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan