Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 BERITA UTAMA

Dari Zaman Penjajah, Wartawan Main Peranan Penting Dalam Pembangunan Negara - Mohd Zuki

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 29 Mei (Bernama) -- Bermula dengan mata pena dan tulisan-tulisan yang membakar semangat ketika negara menuntut kemerdekaan daripada penjajah, kini wartawan memainkan peranan lebih besar dalam menyumbang ke arah pembentukan minda rakyat dan pembangunan sesebuah negara.

Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali ketika dihubungi Bernama berkata wartawan berperanan besar dalam sesebuah negara kerana mereka adalah jambatan kepada setiap maklumat yang ingin disampaikan kerajaan kepada rakyat.

“Jika sebelum merdeka, wartawan cekal dalam usaha membebaskan tanah air daripada penjajah dengan mendukung dan menyebar luas aspirasi nasionalisme kepada seluruh rakyat dan mengajak perpaduan untuk menuntut kemerdekaan.

“Kini, peranan wartawan masih lagi berteraskan akar yang sama, menyelusuri susur galur pemberitaan yang benar, fakta yang tepat, garapan penulisan dan persembahan kepada masyarakat umum secara beretika supaya ia menjadi wahana kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata wartawan memainkan tanggungjawab dalam melaksanakan pelaporan yang beretika dan profesional terutama dalam membicarakan aspek pentadbiran dan agenda kerajaan.

“Ini kerana ia akan menyumbang kepada pendidikan awam, menggalak pemikiran kritis rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan seterusnya memangkinkan kepada penglibatan aktif masyarakat dalam pembangunan negara,” katanya.

Sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, Mohd Zuki berkata media di Malaysia perlu diberi kebebasan dalam menyampaikan berita dengan berasaskan etika kewartawanan yang telah digariskan oleh kerajaan.

“Kebebasan media dalam jalur profesionalisme kewartawanan perlu diraikan bagi memastikan hak rakyat untuk mengetahui tidak dinafikan.

“Namun, kewartawanan jelik yang menjurus kepada perpecahan, perkauman dan menyentuh isu-isu sensitif serta menjadi ejen fitnah perlu dihindari demi perpaduan dan keamanan negara kita ini,” katanya. 

Beliau yang berkhidmat sebagai KSN di bawah dua Yang di-Pertuan Agong dan empat Perdana Menteri mengakui bahawa wartawan mengisi satu ruang yang sangat penting dalam membina serta menyumbang kepada negara yang maju, bersatu padu, aman dan sejahtera.

“Penulisan, kata-kata, coretan dan nukilan membawa makna yang besar dalam membentuk pemikiran dan ideologi masyarakat negara. 

“Lapor dengan integriti, tindakan dengan berani, cekal dalam diuji dalam menjalankan tugasan kewartawanan. Wartawan dan berita berpisah tiada serta katakanlah yang benar meskipun itu pahit iaitu berat untuk dikatakan,” katanya.

HAWANA disambut pada 29 Mei setiap tahun dan untuk 2025, Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA  akan diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan sambutan berkenaan dengan anggaran kehadiran kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana akan menampilkan pelbagai acara, termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei ini dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.

-- BERNAMA

48minit lalu
  LAMAN MIKRO    ASEAN 2025  |  FOKUS BERNAMA  |  TINTA MINDA  |  MAPO  |  MYCHECK  |  MCMC  |  fotoBERNAMA  | 
[Klik setiap laman mikro untuk lebih info]
 TERKINI
Sebuah jawatankuasa pro tem dari Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia dalam usaha menubuhkan secara rasmi Persatuan Pasaran Persendirian ASEAN - Nazir Razak
Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dalam proses menubuhkan Persatuan Pasaran Persendirian ASEAN, dijangka dimuktamadkan akhir tahun ini - Nazir Razak
Soal rombakan Kabinet belum difikirkan, menteri tidak boleh diganti semasa sedang bercuti - PM Anwar
Kecekapan dan semangat berpasukan semua pihak faktor utama kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN - PM Anwar
PM Anwar ucap tahniah kepada ASEAN All-Stars atas kejayaan tewaskan Manchester United dalam perlawanan persahabatan
 AM
Pesta Kaamatan, Hari Gawai Lambang Perpaduan Masyarakat

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Generasi muda harus dididik untuk memahami, menghormati dan menerima kepelbagaian sebagai sat...

47minit lalu
 DUNIA
Presiden Prabowo Seru Israel Iktiraf Palestin

JAKARTA, 28 Mei (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyeru agar Israel mengiktiraf kedaulatan Palestin sebagai s...

13jam lalu
 fotoBERNAMA
[klik foto untuk lebih info]
Untuk pembelian, layari laman web BERNAMA IMAGES
Ad Banner
Ad Banner

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan