Lelaki Myanmar Maut Dibaham Harimau Di Jeli

17/10/2024 06:33 PM

KOTA BHARU, 17 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki warga Myanmar maut dipercayai dibaham harimau di belakang rumah kongsi sebuah ladang cili di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Jeli-Gerik, semalam.

Ketua Polis Daerah Jeli Supt Saari Yaacob berkata pihaknya menerima laporan polis pada hari ini daripada pengadu yang merupakan rakan mangsa.

Beliau berkata kejadian tersebut berlaku apabila pengadu memaklumkan mangsa yang berusia 34 tahun itu telah hilang pada 8.30 malam semalam setelah terdengar bunyi ngauman harimau berdekatan ladang tempat mereka bekerja.

“Berikutan itu, pengadu mencari mangsa dan menjumpai mangsa di dalam hutan berdekatan jalan besar JRTB pada 9.15 pagi tadi.

“Laluan ke tempat kejadian perlu melalui jalan berbukit, sungai dan kebun sayur. Mayat mangsa ditemukan kira-kira 300 meter dari rumah kongsi dan berdasarkan kesan corak darah di sepanjang laluan, mangsa dipercayai cuba melepaskan diri beberapa kali namun gagal,” katanya dalam kenyataan hari ini .

Beliau berkata hasil pemeriksaan di tubuh badan mangsa terdapat kesan kecederaan gigitan di leher dan rahang bahagian kiri serta kanan selain kesan cakar di belakang badan dan dada mangsa. 

Selain itu, Saari berkata paha kiri hingga ke bawah telah putus manakala tulang dan kaki kiri berada di bersebelahan badan mangsa.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jeli untuk dibedah siasat,” katanya.

Insiden melibatkan serangan haiwan liar itu merupakan yang kedua minggu ini selepas seorang lelaki ditemukan maut disyaki dibaham harimau berhampiran rumah kongsi Bagan Balak di Kilometer 79.2 JRTB di Gerik, Perak pada Selasa lepas.

Laporan media menyatakan kejadian serangan harimau itu dipercayai berlaku antara 5 hingga 6 pagi ketika mangsa yang berusia berusia 54 tahun dan bekerja sebagai pengendali jentera berat dipercayai hendak ke tandas rumah kongsi berkenaan. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan