Pengurus Besar PPK Gerik Didakwa Kemuka Tuntutan Palsu

18/10/2024 03:26 PM

IPOH, 18 Okt (Bernama) -- Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan penyelenggaran kenderaaan dan pembelian barangan kegunaan kedai, lima tahun lepas.

Mohd Fuad Omar, 40, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman. 

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengemukakan invois palsu atas nama syarikat Dans Auto bertarikh 30 Sept 2019 berjumlah RM1,975 berkaitan bayaran penyelenggaraan kenderaan pejabat PPK jenis Toyota Hilux, sedangkan invois asal hanya berjumlah RM288.30 bagi memperdaya prinsipalnya di Pejabat PPK Gerik, Hulu Perak, pada September 2019.

Bagi pertuduhan kedua, bapa tiga anak itu didakwa menggunakan dengan niat untuk memperdayakan PPK Gerik, suatu dokumen iaitu bil tunai atas nama Syarikat SLL Machinery Hardware Sdn Bhd bertarikh 11 Sept 2019 berjumlah RM1,155.20 bagi pembelian barangan untuk kegunaan di kedai Agrobazar PPK Gerik sedangkan dokumen asal adalah berjumlah RM167.60.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohd Fuad juga tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan berkaitan pemalsuan dokumen mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Pahmi Ahmad dan Sharul Azuan Ghazali menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, selain tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM Ipoh setiap bulan.

Peguam Raja Mohd Iskandar Zulkharnian Raja Abdul Malek merayu jaminan minimum bagi kedua-dua pertuduhan kerana anak guamnya merupakan penanggung tunggal yang mempunyai tiga anak selain menghidap diabetis.

Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan Mohd Fuad perlu melapor diri di Pejabat SPRM Ipoh setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan 14 Nov depan untuk serahan dokumen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan