RM30 Juta Bendung Penipuan, Tingkat Keselamatan Siber Langkah Proaktif Kukuh Ekonomi

20/10/2024 04:39 PM

Oleh Noraizura Ahmad

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Peruntukan sebanyak RM30 juta bagi memperhebat usaha membendung kes penipuan dan mempertingkatkan keselamatan siber yang diumum pada Belanjawan 2025, disifatkan sebagai langkah proaktif dan tepat pada masa.

Pakar keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI) Prof Madya Dr Selvakumar Manickam berkata peruntukan berkenaan bukan hanya melindungi individu dan perniagaan, tetapi juga memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ekonomi serta menjaga keselamatan negara.

"Dengan mengatasi isu keselamatan siber, kita dapat mewujudkan persekitaran yang lebih selamat bagi perniagaan, mendorong inovasi dan menarik pelaburan asing. Semua ini menyumbang kepada kestabilan dan pertumbuhan ekonomi," katanya kepada Bernama.

Dr Selvakumar berkata peruntukan itu juga akan membentuk rangka kerja keselamatan siber yang kukuh, sekali gus membina kepercayaan dalam transaksi dan perkhidmatan digital. 

"Kepercayaan ini sangat penting dalam membangunkan ekonomi digital yang dinamik dan memastikan semua warganegara, tanpa mengira kepakaran teknikal, dapat terlibat memanfaatkan platform dalam talian dengan yakin," katanya.

Beliau juga menekankan bahawa langkah pencegahan penipuan dan keselamatan siber akan membina masyarakat digital yang lebih inklusif dan berdaya tahan, serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Jumaat lepas turut mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk memperkasakan peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan serta penambahan 100 jawatan di Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dengan peruntukan RM10 juta.

Ketua Eksekutif NACSA Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata tambahan perjawatan terbabit akan membantu meningkatkan keupayaan agensi dalam memantau dan menyelaras langkah-langkah penting bagi mengukuhkan daya tahan siber negara. 

"Kami akan menempatkan petugas tambahan di Pusat Koordinasi dan Bilik Kawalan Siber Nasional (NC4) yang beroperasi sepanjang masa untuk menguruskan penguatkuasaan, membangunkan polisi dan menyokong usaha kolaborasi.

"Hal ini akan meningkatkan keupayaan NACSA untuk memantau dan menyelaras langkah-langkah penting bagi mengukuhkan daya tahan siber negara kita," katanya.

Megat Zuhairy turut menyambut baik peruntukan RM50 juta kepada universiti awam untuk penyelidikan pendidikan berkaitan AI, serta kerjasama antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan NACSA dalam menubuhkan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia.

Beliau berkata kerjasama itu selaras dengan momentum global dan memastikan kedaulatan keselamatan siber serta digital negara terpelihara.

Penubuhan pusat berkenaan katanya bagi merancang dan menyelaras program migrasi sistem kriptografi negara kepada kriptografi pascakuantum.

"Usaha migrasi ini akan menjadi keutamaan strategik bagi memastikan keselamatan siber, Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) dan data peribadi rakyat dilindungi," katanya.

Menerusi Belanjawan 2025, UPM akan menubuhkan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia dengan kerjasama NACSA bagi menyusul AI pengkomputeran kuantum sebagai persiapan mendepani ancaman keselamatan siber.

Megat Zuhairy berkata menjelang 2030, komputer kuantum dijangka digunakan secara meluas dan mampu melakukan pengiraan yang sangat pantas. 

Beliau berkata teknologi itu berpotensi meningkatkan keupayaan pengkomputeran dalam pelbagai bidang yang bermanfaat, namun ia juga berisiko mengancam asas infrastruktur keselamatan siber dan digital iaitu sistem kriptografi semasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan