PGA Rampas 70 Kotak Ayam Sejuk Beku Seludup Bernilai RM10,500

20/10/2024 07:30 PM

KOTA BHARU, 20 Okt (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 70 kotak ayam sejuk beku bernilai RM10,500 yang dipercayai diseludup masuk dari Thailand selepas menahan sebuah kereta Perodua Myvi di Cabang 3 Tok Deh, Pasir Mas, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, SAC Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan itu dilakukan selepas pasukannya bertindak menahan kereta tersebut pada pukul 8 pagi yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 23 tahun dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata susulan itu, pemeriksaan dilakukan dan mendapati keseluruhan bahagian penumpang diisi dengan puluhan kotak berisi ayam sejuk beku tanpa memiliki dokumen sah.

"Bekalan itu adalah untuk pasaran tempatan dan ia diserahkan kepada Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Nik Ros Azhan turut memaklumkan bahawa polis telah merampas sebanyak 2,000 kilogram (kg) beras Siam dalam dua operasi berasingan yang dijalankan di Kampung Jias Beta Hulu di sini dan Kampung Banggol Chica, Pasir Mas.

Beliau berkata dalam operasi di Kampung Jias, polis merampas sebanyak 800kg beras yang dianggarkan bernilai RM3,200 setelah menemui beras tersebut di dalam sebuah kereta Proton Waja yang ditinggalkan tanpa pemandu.

Katanya dalam operasi di Kampung Banggol Chica, sebanyak 1,200kg beras bernilai RM4,800 dirampas selepas pemeriksaan ke atas sebuah kereta pacuan empat roda yang turut ditinggalkan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 dan kesemua beras diserahkan kepada Kompeni Taktikal (Komtak) Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan