Polis Kenal Pasti Empat Lelaki Bantu Siasatan Dakwaan Anak 'Abuya' Dikurung

21/10/2024 06:52 PM

JERANTUT, 21 Okt (Bernama) -- Polis sudah mengenal pasti empat lelaki bagi membantu siasatan kes anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam Ashaari Muhammad, Ummu Atiyah yang mendakwa dikurung di penempatan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Batu Hampar, Perak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya kini sedang mengesan empat individu berkenaan, yang berusia lebih 20 tahun.

“Siasatan masih dijalankan, kalau sesetengah orang cakap kita (polis) tergesa-gesa tangkap, tidak… kita akan panggil bagi kenyataan dahulu sebelum tindakan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Taman Negara, di sini hari ini.

Razarudin sebelum ini dilapor berkata mangsa mendakwa dikurung di dalam sebuah bilik di rumah setingkat kira-kira sebulan yang hanya dilengkapi tilam, almari dan kemudahan elektrik, serta tidak diberi kebenaran menggunakan telefon bimbit oleh empat lelaki yang juga pengikut GISBH. 

Semalam polis turut membawa Ummu Atiyah ke lokasi beliau mendakwa dikurung di Batu Hampar, Perak untuk tujuan pengecaman.

Razarudin berkata beliau tidak menolak kemungkinan terdapat lagi individu yang mengalami gangguan seksual daripada pengikut GISBH dan meminta mangsa supaya tampil membuat laporan polis. 

Sementara itu, beliau berkata inisiatif Kerajaan MADANI mewujudkan program rehabilitasi menerusi Majlis Keselamatan Negara, ialah peluang terbaik bagi ahli GISBH yang tersasar untuk memulihkan diri sendiri. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan