Ahli Lembaga Koperasi Disyaki Salah Guna Jawatan Direman Lima Hari

22/10/2024 01:36 PM

IPOH, 22 Okt (Bernama) -- Seorang pegawai khas projek yang juga ahli lembaga sebuah koperasi direman lima hari bermula hari ini hingga 26 Okt kerana disyaki menyalahgunakan jawatan, membabitkan sejumlah wang RM3.2 juta.

Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah di Mahkamah Majistret Sivil 1 di sini, kira-kira 10.45 pagi.

Terdahulu lelaki yang berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu tiba di Kompleks Bangunan Mahkamah Tinggi Ipoh di sini kira-kira 10.20 pagi dengan menaiki van SPRM.

Menurut sumber SPRM, suspek ditahan di Pejabat SPRM Perak di sini kira-kira 2.25 petang semalam kerana disyaki melakukan dua kesalahan menyalahgunakan kedudukannya sebagai ahli lembaga koperasi.

Pertama suspek disyaki menyalah guna kedudukannya dengan mengarahkan wang pelaburan bernilai RM700,000 daripada sebuah koperasi dimasukkan ke akaun syarikat milik adiknya tanpa pelaksanaan projek.

Suspek juga disyaki menyalah guna kedudukannya dengan mengarahkan wang pelaburan bernilai RM2.5 juta daripada sebuah syarikat dimasukkan ke akaun syarikat milik isterinya tanpa sebarang pelaksanaan projek, dan kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan