Maritim Malaysia Perak Tahan Bot Nelayan Tempatan, Tiga Nelayan Warga Asing

22/10/2024 04:35 PM

IPOH, 22 Okt (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B bersama tiga nelayan warga asing, termasuk tekong pada kedudukan 6.1 batu nautika barat daya Pulau Pulau Pasir Hitam, Lumut, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, bot berkenaan dikesan sepasukan bot ronda Maritim Malaysia, ketika nelayan terbabit sedang melakukan aktiviti perikanan.

Mohamad Shukri berkata hasil pemeriksaan mendapati, bot berkenaan dikendalikan seorang tekong bersama dua kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan antara 31 hingga 37 tahun.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati bot terbabit tidak diusahakan sendiri dan menggunakan nelayan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, selain tekong serta kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang diperakui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Shukri berkata semua nelayan terbabit telah ditahan, manakala bot dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan turut dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Selain itu, beliau berkata Maritim Malaysia mengingatkan kepada semua komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan oleh kerajaan.

“Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

 -- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan