Polis Melaka Tahan 'cicak' Terlibat 22 Kes Pecah Rumah

23/10/2024 10:14 AM

MELAKA, 23 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki dikenali dengan panggilan ‘Cicak’ ditahan kerana disyaki terlibat dalam 22 jenayah pecah rumah di sekitar Melaka Tengah dan Alor Gajah sejak awal tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata lelaki berusia 42 tahun dipercayai melakukan jenayah berkenaan secara solo itu ditahan di sebuah bilik hotel di Angkasa Nuri di sini kira-kira 4.20 petang 16 Okt lepas.

Beliau berkata polis turut merampas barangan antaranya barang kemas seperti cincin, rantai, loket, gelang selain pelbagai jenis telefon bimbit, pakaian berjenama dan motosikal dianggarkan bernilai RM150,000.

"Suspek yang dikenali dengan panggilan 'Cicak' itu menyasarkan rumah tidak berpenghuni sebelum memecah masuk premis terbabit dan mencuri pelbagai  barang berharga.

"Berdasarkan rekod, suspek melakukan jenayah pecah rumah terbabit di sekitar Melaka Tengah serta Alor Gajah dan setakat ini, sebanyak 22 rumah dipercayai dipecah masuk oleh lelaki terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Md Nazri berkata polis turut merampas beg hitam mengandungi satu plastik lutsinar berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dengan berat dianggarkan 5.34 gram.

Beliau berkata saringan ujian air kencing yang dijalankan terhadap lelaki berkenaan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, selain turut memiliki 14 rekod jenayah lampau termasuk 10 kes pecah rumah.

Suspek direman selama 10 hari hingga Jumaat ini (25 Okt) bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun selain denda dan sebat, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan