KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Mahkamah Tinggi memerintahkan agar tanah seluas 263.272 ekar (106.542 hektar), yang dikenali sebagai enklaf duta, dipulangkan kepada Semantan Estate Sdn Bhd (SESB) selepas mengisytiharkan pengambilannya oleh kerajaan pada 1956 adalah tidak sah.
Menerusi alasan penghakiman setebal 12 muka surat yang dikeluarkan pada Isnin lepas, Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh berkata memandangkan berlaku kesilapan dalam pengambilannya, kerajaan telah dan masih menduduki tanah itu secara tidak sah.
"Penemuan fakta ini dibuat oleh Mahkamah Tinggi yang kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Malah percubaan yang dibuat bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan juga gagal.
"Sebelum pengambilan itu, tanah terbabit adalah milik plaintif (Semantan Estate) dan jika pengambilannya dilakukan secara sah maka ia akan menjadi milik kerajaan," katanya.
Beliau juga berkata keputusan itu dibuat kerana mahkamah perlu menegakkan keadilan dan mematuhi prinsip hak-hak asasi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Apabila diminta mempertahankan hak-hak asasi seperti termaktub dalam Perlembagaan, mahkamah tidak akan terlibat dalam tindakan yang penuh dengan teka-teki dan usaha untuk mengaburi fakta bagi melindungi pelanggaran hak-hak tersebut.
"Jadi, hak-hak ini amat suci di sisi Perlembagaan sehinggakan kerajaan juga tidak boleh mencabulinya," kata hakim itu.
Tanah terbabit, yang terletak di lokasi utama Jalan Duta, menempatkan bangunan kerajaan termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Pada 12 Sept lepas, Ahmad Shahrir membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan perintahnya agar tanah terbabit dipindah milik kepada Semantan Estate sementara menunggu rayuan.
Mahkamah Rayuan telah menetapkan 7 Nov ini untuk pendengaran.
Pada 7 Ogos lepas, Ahmad Shahrir telah mengarahkan kerajaan agar memindah milik tanah itu kepada Semantan Estate selepas membenarkan saman pemula syarikat tersebut terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Beliau turut memerintahkan Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan syarat yang diminta dalam tempoh tiga bulan dan mengarahkan kerajaan membayar kos sebanyak RM50,000.
Selain itu, hakim berkenaan mengarahkan agar defendan mendaftarkan Semantan Estate sebagai pemilik tanah tersebut, melaksanakan semua surat cara pindah milik serta mengeluarkan dokumen hak milik tanpa bebanan dan liabiliti atas nama plaintif.
Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 263.272 ekar itu yang telah diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.
Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan namun ditolak pada 18 Mei 2012.
Pada 21 Nov 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan bagi kebenaran merayu keputusan itu.
Semantan Estate kemudian memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi itu.
Kerajaan juga telah mencadangkan penyelesaian berhubung isu tanah itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial