Pemandu Mabuk Langgar Murid Tahun Lima Di Port Dickson Direman

25/10/2024 11:53 AM

PORT DICKSON, 25 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki direman berikutan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan seorang murid Tahun Lima yang sedang melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Port Dickson, di sini semalam.

Ketua Polis Port Dickson Supt. Maslan Udin berkata kemalangan itu melibatkan sebuah Perodua Myvi dan seorang murid lelaki yang sedang melintas jalan pada kira-kira pukul 7.10 pagi.

Beliau berkata kejadian berlaku apabila pemandu lelaki berumur 28 tahun dalam perjalanan dari pekan Port Dickson menghala ke arah Teluk Kemang.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, semasa pelajar sekolah itu melintas jalan ke sekolah, pemandu kereta gagal mematuhi lampu isyarat merah dan telah melanggar pelajar berkenaan. Akibat kemalangan tersebut, pelajar itu mengalami kecederaan patah pada ibu jari kaki kanan serta luka di kaki dan tangan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata polis telah menahan pemandu berkenaan, dan ujian saringan alkohol menunjukkan bacaan alkohol sebanyak 203mg alkohol/100ml darah, yang melebihi had 153mg alkohol/100ml darah.

Maslan berkata pemandu berkenaan direman selama tiga hari bermula semalam dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 44 (14) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan