Lima Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Terlibat Rompakan Berkumpulan Bersenjata

25/10/2024 02:40 PM

KLANG, 25 Okt (Bernama) -- Lima lelaki, termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan bersenjata di sebuah rumah milik ahli perniagaan, awal bulan ini.

Kesemua tertuduh, M. Linggeshwaran, 23; P.S. Tamil Kumaran, 38; G. Siva, 33; R. Thamilarasan, 33, dan S. Nagen, 28, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara serentak di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata parang terhadap harta milik seorang mangsa warga tempatan berusia 54 tahun, berupa pelbagai patung sembahan yang dianggarkan bernilai RM74,500.

Jenayah itu dilakukan di sebuah kawasan perumahan di Pandamaran, Pelabuhan Klang pada 6.16 pagi, 3 Okt lepas, dan kesemua tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat. 

Prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran manakala tertuduh masing-masing diwakili peguam Reenajit Kaur Golen (Linggeshwaran), SK Loges Kesavan (Tamil Kumaran, Nagen) dan Mohamad Fauzi Abdul Samad (Siva, Thamilarasan). 

Annur Athirah dalam prosiding itu tidak mencadangkan jaminan bagi kesemua tertuduh dengan mengambil kira keseriusan kes berkenaan dan jenis kes yang tidak membenarkan jaminan.

Peguam Reenajit Kaur, Loges Kesavan dan Mohamad Fauzi kemudiannya berhujah supaya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh dengan jumlah yang munasabah memandangkan mereka mempunyai tanggungan sama ada ibu bapa, anak dan adik beradik. 

Kesemua tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, kelindan lori dan penghantar barangan sambilan dengan pendapatan RM30 sehari hingga 2,000 sebulan. 

Loges Kesavan turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya, Tamil Kumaran, merupakan pemegang kad OKU akibat kemalangan teruk yang dialaminya pada tahun 2012. Kemalangan tersebut menyebabkan beliau kehilangan mata kanan, yang menjadikan beliau sukar untuk mendapatkan pekerjaan.

Annur Athirah membantah hujah dikemukakan kesemua peguam bela dengan mengambil kira keberatan kes, namun mencadangkan jika mahkamah ingin menggunakan kuasa budi bicara yang tertakluk kepadanya untuk mengenakan jaminan berjumlah RM50,000 setiap seorang dengan syarat tambahan. 

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan terhadap kesemua tertuduh sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan syarat tambahan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap awal bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan. 

Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Jan tahun hadapan. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan