Pecah Amanah Wang Jual Kura-kura, Bekas Pembantu Kedai Haiwan Eksotik Dipenjara Setahun

25/10/2024 04:47 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Seorang bekas pembantu kedai di sebuah syarikat perniagaan haiwan eksotik dijatuhkan hukuman penjara setahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah pecah amanah wang lebih RM70 ribu hasil jualan enam ekor kura-kura milik syarikat berkenaan, awal minggu ini.

Hakim Hamidah Mohamed Deril menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Amirul Arsyad Ahmad Nor Hishamuddin, 25, dan memerintahkan hukuman itu bermula daripada tarikh tangkap pada 21 Okt.

Tertuduh yang ketika itu pembantu kedai Syarikat Lucid Vortex Sdn Bhd, didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM78,200 yang merupakan hasil jualan enam ekor kura-kura jenis Aldabra dan Leopard di syarikat berkenaan di Jalan Dato Haji Harun, Taman Tanyton Vie, Cheras pada 20 dan 21 Okt.

Pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, pengadu iaitu pemilik syarikat Lucid Vortex telah membuat laporan polis selepas mendapati enam ekor kura-kura milik syarikatnya hilang.

Hasil siasatan polis mendapati, tertuduh telah menjual haiwan itu pada harga RM78,200 kepada seorang individu dan tidak menyerahkan wang jualan berkenaan sehingga syarikat pengadu mengalami kerugian.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, namun Muhammad Amirul Arsyad yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung keluarga serta dua anak perempuan masing-masing berumur empat tahun dan 10 bulan.

“Saya baru sahaja bercerai dengan isteri saya pada Mei lepas. Saya juga menjaga datuk dan nenek yang uzur,” kata tertuduh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan