JAIM, MPAG Serbu Pusat Perubatan Tabib Adam

25/10/2024 05:40 PM

MELAKA, 25 Okt (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menyerbu sebuah pusat perubatan tradisional di Masjid Tanah semalam, dipercayai susulan fatwa sesat terhadap kaedah rawatan yang digunakan pusat itu.

Tindakan penguatkuasaan ke atas Pusat Perubatan Tabib Adam itu, dilakukan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Menerusi hantaran di Facebook, MPAG memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan pemeriksaan di sebuah premis tertera nama Villa Dato’ Tabib Diraja Dato’ Adam M.Isa, dengan antara yang diperiksa termasuk dokumen dan pakaian yang mempunyai gambar pengasasnya.

Sementara itu Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman ketika dihubungi hari ini enggan mengulas mengenai serbuan berkenaan, memandangkan siasatan masih dijalankan.

Media pada 14 Okt melaporkan rawatan perubatan Tabib Adam difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa negeri.

Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil berkata perkara itu ditetapkan pada 12 Sept, setelah hasil kajian mendapati rawatan di pusat itu mempunyai elemen keraguan dan JAIM diminta mengambil tindakan lanjut termasuk membuat sesi wawancara dengan mereka secara bersemuka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan