Kibar Bendera China Di Teluk Intan: 17 Telah Dirakam Keterangan - Polis

25/10/2024 11:04 PM

IPOH, 25 Okt (Bernama) -- Sebanyak 17 peserta warga China yang terlibat dalam sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia dan mengibarkan bendera asing ketika perarakan di Menara Condong Teluk Intan semalam telah diambil keterangan.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya telah mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) petang tadi dan kesemua mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita telah dipanggil untuk merakamkan keterangan bagi membantu siasatan.

"Ada arahan untuk menyiasat, jadi kita akan tunggu kertas siasatan dihantar kepada TPR untuk tindakan susulan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, Azizi mengesahkan bahawa perarakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan yang mengibarkan bendera negara asing dan turut tular di media sosial telah melanggar syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau berkata pihaknya juga sedang mengenal pasti kewujudan bendera negara lain yang turut dikibarkan dalam perarakan berkenaan.

Katanya menurut video yang tular terdapat juga bendera negara Thailand dan Vietnam.

Perarakan yang berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu berlangsung dari pukul 8 malam hingga 11.30 malam semalam dan disertai kira-kira 400 penonton.

Terdahulu, Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia hari ini memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China oleh salah satu rombongan pada malam perarakan Guan Gong Sedunia.

Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia Soon Boon Hua berkata tindakan mengibarkan bendera negara asing tersebut tidak dirancang dalam tentatif acara oleh pihak pengelola.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan