Peniaga Rugi Hampir RM500,000 Diperdaya Sindiket Penipuan

26/10/2024 10:31 AM

KUANTAN, 26 Okt (Bernama) -- Seorang peniaga di Jerantut kerugian RM446,800 selepas terpedaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pegawai polis. 

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 42 tahun itu diperdaya kononnya terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram. 

Beliau berkata pada 22 Ogos lepas, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai MCMC menyatakan nombor telefonnya telah digunakan untuk aktiviti penipuan. 

Mangsa kemudian dirujuk kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan memaklumkan terdapat waran tangkap terhadapnya kerana terlibat dengan pengubahan wang haram. 

“Mangsa berasa takut apabila menerima waran tangkap yang dihantar oleh suspek melalui aplikasi WhatsApp. Dalam tempoh 22 hingga 24 Okt, mangsa membuat pemindahan wang berjumlah RM446,800 dengan 51 transaksi ke 11 akaun bank bagi tujuan siasatan oleh suspek.

“Pada 25 Okt, mangsa berasa ditipu apabila suspek tidak memulangkan wang seperti dijanjikan setelah siasatan selesai. Sumber kewangan ialah wang simpanan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sehubungan itu, Yahaya menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan pelaburan yang menawarkan keuntungan lumayan dalam masa singkat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan