Culik Ahli Perniagaan: Siasatan Masih Berjalan, Tiada Tangkapan Baharu

26/10/2024 08:34 PM

JOHOR BAHRU, 26 Okt (Bernama) -- Tiada tangkapan baharu dilakukan berkaitan kes culik seorang ahli perniagaan di sini pada 13 Okt lepas, kata Ketua Polis Johor Datuk M Kumar.

Beliau berkata siasatan terhadap 13 individu yang direman hingga Selasa ini sedang dijalankan.

“Soal siasat masih berjalan, mereka masih dalam tahanan reman. Tiada tangkapan baharu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Bazar Deepavali di Jalan Trus di sini hari ini.

Kumar sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya telah menahan 13 individu berusia 23 hingga 58 tahun dalam beberapa siri tangkapan di sekitar negeri ini bermula 9 malam Rabu hingga awal pagi Khamis lepas.

Seorang daripada suspek yang ditahan, katanya adalah ahli keluarga mangsa. 

Sementara itu, Kumar berkata sebanyak 1,534 pegawai dan anggota polis di negeri ini ditugaskan sempena perayaan Deepavali kali ini. 

Beliau berkata daripada jumlah itu, 95 pegawai dan anggota ditugaskan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bagi mengawal dan mengatasi kesesakan di dua pintu masuk itu.

Kumar turut menggesa orang ramai yang ingin pulang bercuti sempena Deepavali untuk memanfaatkan aplikasi telefon pintar Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

“Setakat ini (minggu ini) 80 permohonan VSP telah dilakukan secara dalam talian dan mengisi borang di balai polis,” katanya.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan