Polis Siasat Kumpulan Jalan Aktiviti Pengantunan Seksual Kanak-kanak Di Media Sosial

27/10/2024 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memulakan siasatan mengenai dakwaan kewujudan kumpulan yang menjalankan aktiviti pengantunan seksual kanak-kanak di akaun media sosial, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata siasatan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Jumaat lepas berhubung kewujudan kumpulan berkenaan yang menjalankan aktiviti menerusi hantaran di aplikasi X. 

Razaruddin berkata siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Siber (Internet) Terhadap Kanak-Kanak Malaysia (MICAC) Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Unit MICAC D11 sudah memulakan proses risikan dalam talian dan menyalurkan beberapa maklumat suspek kepada pihak MCMC untuk dibuat profiling awal sementara risikan dalam talian diteruskan bagi menimbulkan elemen yang lebih kukuh mengenai kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

“Bahagian D11 bersama MCMC sedang menjalankan risikan dan siasatan lanjut ke atas maklumat itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengesahkan MCMC ada menerima aduan mengenai kewujudan kumpulan pengantunan seksual kanak-kanak di akaun media sosial dan suruhanjaya itu sedang bekerjasama dengan Meta dan polis bagi melakukan siasatan lanjut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan