Lelaki Didakwa Jalankan Aktiviti Pinjaman Wang Tanpa Lesen

28/10/2024 02:36 PM

IPOH, 28 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan perniagaan memberikan pinjaman wang tanpa lesen, Isnin lepas.

Ting Chuan Yau, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Shariff dalam bahasa Mandarin.

Mengikut pertuduhan, Ting didakwa menjalankan perniagaan memberikan pinjaman wang tanpa lesen yang sah di hadapan Restoran Kak Jun di Persiaran Utama 1, Taman Becham Raya dalam daerah Ipoh, pada 10.45 pagi, 21 Okt lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin menawarkan jaminan RM7,000 manakala peguam S.Teeban Kummar yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM2,000 atas alasan Ting masih bujang dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Mahkamah memutuskan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes pada 23 Dis ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan